Ganjaran kepada atlet dinaikkan tiga kali ganda - Zahid

Ganjaran kepada atlet dinaikkan tiga kali ganda – Zahid

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) menyampaikan anugerah Shakam kepada wakil atlet para renang pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan 2023 di Bangi, malam ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan ganjaran kepada atlet kebangsaan yang cemerlang di pentas antarabangsa akan dinaikkan tiga kali ganda pada tahun depan.

Bagaimanapun, beliau berkata, ganjaran tersebut akan hadir menerusi sumber kewangan penaja atau syarikat korporat dan bukannya daripada kerajaan.

“Saya amat bersimpati dengan pemenang pingat emas dan saya yakin dalam belanjawan pada tahun depan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan tingkatkan hadiah galakan ini.

“Hadiah yang diberi pada ketika ini sangat kecil dan tahun depan kita akan jadikan tiga kali ganda, saya yakin sahabat lama saya Tan Sri (Mohamad) Norza (Zakaria) boleh mencari penaja atau syarikat korporat.

“Kerajaan akan memberi pengecualian cukai bagi mana-mana syarikat korporat yang bersedia untuk menjadi penaja kepada hadiah kemenangan atlet ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) 2023 di sini, malam ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.
Menurut Zahid, atlet negara sering mempamerkan peningkatan prestasi pada setiap tahun, tetapi, hadiah kemenangan masih tidak bertambah.

Jelasnya, beliau bersimpati dengan ahli sukan yang bekerja keras untuk mendapat pingat emas dan perak, tetapi malangnya ganjaran yang diberi terlalu kecil.

“Cuma apa yang saya harapkan, wang ganjaran ini biarlah disalurkan oleh syarikat swasta, jangan letakkan bebanan kepada kerajaan semata-mata untuk menambah hadiah wang tunai,” ujarnya.

Katanya lagi, pada tahun ini sahaja, kerajaan telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM2.4 juta bagi memberi ganjaran kepada para pemenang Sukan SEA dan Para Asean.

“Hadiah Shakam disampaikan malam ini adalah galakan untuk saudara, saudari beraksi lebih cemerlang, namun, dalam masa sama saya juga berharap anda berjuang bukanlah hanya untuk mengejar hadiah tetapi sebaliknya mengharumkan nama negara di pentas dunia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya