FAM nafi diam diri penyokong KL City dipukul

FAM nafi diam diri penyokong KL City dipukul

YUSOFF MAHADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)  menafikan mengambil sikap berdiam diri dan lambat bertindak dalam insiden  yang menyaksikan penyokong Kuala Lumpur City (KL City) dipukul dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu lalu.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi menegaskan, insiden itu sudah menjadi kes polis, sekali gus mereka tidak boleh lagi ‘masuk campur’.

“FAM bukan mengambil sikap untuk berdiam diri berhubung hal ini atau pun lambat untuk membuat sebarang tindakan. Laporan polis sudahpun dibuat oleh mangsa pada keesokan harinya selepas insiden berkenaan.

“Jadi sudah tentu di pihak FAM, kita tidak boleh membuat sebarang tindakan yang boleh mengganggu siasatan polis kerana ia sudah menjadi kes polis.

“Bagaimanapun, FAM sentiasa bersedia dan terbuka memberi kerjasama kepada pihak polis jika diminta berbuat demikian bagi membantu siasatan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, FAM turut menegaskan pihaknya menolak keras segala bentuk salah laku yang berkaitan dengan hal-hal keselamatan, kekerasan atau keganasan dalam bola sepak, sama ada di dalam padang atau di luar padang yang membabitkan penyokong.

“FAM tetap memandang serius dengan apa yang berlaku ini dan akan segera melakukan tindakan proaktif bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam memastikan kejadian sama tidak berulang pada perlawanan lain akan datang,” katanya.

Sabtu lalu, seorang penonton yang menyaksikan perlawanan akhir Piala FA 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City mendakwa dirinya dipukul oleh anggota Johor Military Force (JMF) sehingga menyebabkan dia mengalami beberapa kecederaan.

Penyokong tersebut kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras dan disahkan doktor mengalami patah hidung, pendarahan di kepala, pendarahan di mata kanan dan lebam di seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Rahmat Ariffin dalam satu kenyataan pada 24 Julai turut meminta saksi kejadian untuk tampil ke balainya bagi membantu siasatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya