BACHOK: Erfan Gym & Fitness kekal konsisten dengan keputusan untuk membeli Kelantan FC daripada pemilik pasukan ketika ini iaitu Norizam Tukiman atau Zamsaham.
Pemiliknya, Erfan Akif Ruslan bagaimanapun berkata keputusan berkait pemilikan penuh ke atas Kelantan FC akan diputuskan selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Zamsaham.
Menurutnya, hasil perbincangan itu akan jadikan sebagai panduan dalam membuat keputusan.
“Jika tidak jadi pemilik, saya sedia untuk membeli sebahagian daripada saham The Red Warriors (TRW). Bagaimanapun jumlah pembelian saham itu tidak boleh saya dedahkan.
“Dari segi kewangan, insya-Allah saya mampu merealisasikan hasrat menjadi pemilik penuh atau pemegang saham termasuklah rakan strategik. Pada masa sama, saya mempunyai ‘pasukan’ sedia membantu menyuntik semula kebangkitan TRW,” katanya ketika ditemui di Jelawat, semalam.
Erfan memberitahu, dia berhasrat memulihkan semula prestasi Kelantan FC supaya menjadi salah satu pasukan yang disegani.
“Bola adalah jiwa rakyat Kelantan. Saya orang Kelantan, jadi menjadi kerugian sekiranya tidak membantu pasukan.
“Bantulah saya dengan menitip doa dan sokongan supaya hasrat itu dapat direalisasikan,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Zamsaham mengakui, Erfan menawarkan RM10 juta untuk membeli Kelantan FC yang kini berdepan isu kewangan.
Katanya, beliau bersedia melepaskan kelab itu jika Erfan berjaya menunjukkan proof of fund dan membuktikan dia benar-benar serius.-UTUSAN