Dua gol Ifedayo bantu KDA tewaskan Kelantan United 3-1

Dua gol Ifedayo bantu KDA tewaskan Kelantan United 3-1

IFEDAYO Olusegun meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika KDA FC menewaskan Kelantan United 3-1 di Staidum Darul Aman. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua gol jaringan penyerang baharu Kedah Darul aman FC (KDA FC), Ifedayo Olusegun berjaya membantu Sang Kenari untuk menundukkan Kelantan United 3-1 di laman sendiri, sebentar tadi.

Penguasaan KDA FC bermula seawal permainan apabila Lee Tuck membuat percubaan dari dalam kotak penalti hanya tiga minit selepas wisel ditiupkan, namun penjaga gol Kelantan United, Shahril Saari berada di posisi tepat untuk mendakap bola tersebut.

Meskipun bola banyak berlegar di kawasan pelawat, percubaan bahaya tuan rumah seterusnya hanya hadir kira-kira 20 minit selepas itu. Sepakan percuma Manuel Hidalgo yang melencong ke penjuru kanan pintu gol Kelantan berjaya ditepis Shahril.

Hanya dua minit selepas itu, Sang Kijang Hijau tampil membuktikan betapa cabaran mereka tidak boleh dipandang mudah apabila percubaan Jose Porteria dari luar kotak penalti singgah di palang ketika penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al-Hafiz sudah tertewas.

MANUEL Hidalgo cuba melepasi kawalan pemain Kelantan United dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

Dua minit selepas perlawanan bersambung di babak kedua, KDA FC terus mengancam pintu gol pelawat. Rembatan pemain sayap lincah dari Manuel Hidalgo bagaimanapun sedikit tersasar.

Gol yang ditunggu penyokong tuan rumah akhirnya tiba pada minit ke-54. Hantaran lintang pemain pertahanan, Wan Amirul Afiq singgah tepat ke kepala Ifedayo untuk penyerang kelahiran Nigeria itu melakukan tandukan sekali gus menewaskan Shahril.

Jaringan kedua KDA FC hadir pada minit ke-64 menerusi hantaran lintang Fayadh Zulkifli, meskipun terkena kaki salah seorang pemain Kelantan, bola tetap sampai kepada Ifedayo yang berada dalam kotak penalti untuk dia melakukan tolakan mudah ke gawang lawan.

Usaha Kelantan United untuk merapatkan kedudukan hampir berjaya pada minit ke-79. Nasib bagaimanapun jelas tidak menyebelahi mereka apabila rembatan Porteria sekali lagi terkena palang.

Sebaliknya, gawang Kelantan bocor buat kali ketiga pada minit ke-84 setelah Amirbek Juraboev yang dimasukkan bagi menggantikan Moses Atede berjaya melepaskan rembatan padu dari dalam kotak penalti tanpa dapat dijangkau Shahril untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Kerja keras ditunjukkan penyerang import dari Nigeria, Ismaheel Akinade pada minit terakhir perlawanan bagaimanapun berjaya menghasilkan gol sagu hati buat pasukan pelawat bagi menjadikan keputusan muktamad 3-1 di bumi Darul Aman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya