LONDON: Novak Djokovic memulakan misi memburu kejuaraan Wimbledon kelapan dengan melakar kemenangan ke-40 berturut-turut di Centre Court, hari ini.
Bintang Serbia itu yang memenangi empat gelaran terakhir di All England Club, menewaskan pemain ranking ke-68 dunia dari Argentina, Pedro Cachin 6-3, 6-3, 7-6 (7/4) pada pusingan pertama.
Djokovic yang tidak pernah kalah di Centre Court sejak 2013 turut membantu staf mengeringkan gelanggang rumput paling terkenal di dunia itu selepas ia menjadi agak licin akibat hujan.
Bumbung gelanggang itu ditutup tetapi perlawanan dihentikan kira-kira 90 minit, sekali gus mengecewakan peminat.
“Apabila saya keluar ke gelanggang, saya membawa raket, bukannya tuala,” kata Djokovic yang menyifatkan gelanggang itu sebagai ‘mangkuk suci, kuil bagi tenis’.
Dia berkata: “Keadaan tidak bagus di bawah bumbung, gelanggang masih licin. Saya fikir, keadaan ini mengecewakan peminat yang menanti untuk melihat kami beraksi.”
Up and running.@DjokerNole records his 29th consecutive match win at #Wimbledon, beating Pedro Cachin 6-3, 6-3, 7-6(4) pic.twitter.com/W78EBnwtzi
— Wimbledon (@Wimbledon) July 3, 2023
Pemain No. 2 dunia itu yang mahu menyamai pencapaian Roger Federer memenangi lapan gelaran Wimbledon akan berdepan Jordan Thompson dari Australia pada pusingan kedua.
Djokovic, 36, sudah memenangi gelaran Terbuka Australia dan Terbuka Perancis pada tahun ini.
Dia mencipta rekod bagi lelaki dengan 23 gelaran utama di Paris dan kini ketinggalan satu gelaran untuk menyamai rekod sepanjang zaman milik Margaret Court dengan 24 kejuaraan.
Dia kini separuh jalan untuk menang semua gelaran Grand Slam dalam semusim sejak pencapaian Rod Laver pada 1969. – AGENSI