PETALING JAYA: Beregu badminton lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tetap menganggap prestasi mereka pada Terbuka Korea di tahap memberangsangkan biarpun tersingkir di suku akhir kelmarin.
Pasangan negara itu akur tewas kepada pilihan utama kejohanan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 9-21, 21-23.
Sekalipun tewas, mereka masih mampu menunjukkan aksi terbaik sepanjang minggu biarpun masih kepenatan selepas berhempas pulas menjulang gelaran juara kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (AS) minggu lalu.
Apatah lagi mereka terpaksa mengharungi perlawanan pertama di Korea menentang pasangan China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang, kurang 24 jam selepas berangkat dari Iowa, Amerika Syarikat.
“Saya fikir mungkin kami perlu lebih variasi dalam permainan kami. Hari ini sudah lepas dan kami ada baki dua kejohanan lagi. Kami akan buat persiapan terbaik untuk kejohanan akan datang,” jelas Sze Fei.
Justeru mereka membawa misi serampang dua mata untuk kejohanan seterusnya, di Terbuka Jepun minggu hadapan bagi menebus kekecewaan tahun lalu.
Edisi lalu, Izzudin dan Sze Fei ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama di tangan gandingan Indonesia, Bagas Maulana dan Mohamad Shohibul Fikri.