ALOR SETAR: Selepas tampil longlai tanpa kehadiran Lee Tuck dan Manuel Ott ketika tewas 0-1 kepada Terengganu FC (TFC), ‘taring’ Kedah Darul Aman (KDA) akan kembali tajam apabila menentang PDRM FC esok.
Tidak hanya disebabkan kembalinya dua pemain itu daripada penggantungan, bisa Sang Kenari dijangka lebih menyengat dengan penampilan sulung dua import baharu, Moses Atede dan Ifedayo Olusegun.
Ketua Jurulatih Kedah, Nafuzi Zain berkata, kedua-dua pemain itu kemungkinan besar akan diturunkan bagi memastikan misi memperolehi tiga mata di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dapat dicapai.
“Memang diakui dalam beberapa perlawanan sebelum ini kita memiliki kekurangan disebabkan ketiadaan beberapa pemain utama. Namun dengan kembalinya Ott dan Lee Tuck serta kedatangan Moses serta Ifedayo, saya yakin kekuatan pasukan boleh bertambah.
“Setakat ini rasanya tiada halangan untuk Moses dan Ifedayo bermain dan kemungkinan besar mereka akan diturunkan. Misi kami memang mahu menang kerana tiada cara lain untuk memastikan pasukan ini berada di kelompok teratas liga tanpa meraih tiga mata,” katanya.
Mengulas mengenai kelemahan ditampilkan pasukan dalam perlawanan sebelum ini, Nafuzi berkata, pasukan itu jelas tidak beraksi pada tahap sebenar selain bergerak dalam tempo agak perlahan.
“Memang banyak kekurangan ditampilkan dalam perlawanan itu tetapi saya harap pemain dapat lupakannya segera. Untuk berdepan PDRM, kami perlu tingkatkan intensiti dan tidak terlalu mudah kehilangan bola,” katanya.