Chi Wing cipta kejutan walau sudah bersara

Chi Wing cipta kejutan walau sudah bersara

LIM CHI WING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejohanan Badminton Kebangsaan bukan sekadar menjadi gelanggang buat pemain untuk baradu kekuatan bagi merebut gelaran, tetapi, ada juga dalam kalangan peserta yang menyertainya untuk berseronok kerana minat terhadap sukan tersebut.

Salah seorang pemain itu ialah bekas juara kebangsaan sebanyak dua kali, Lim Chi Wing yang menyertai kejuaraan tersebut bukan untuk mencari kemenangan, tetapi hanya kepuasan bermain.

Chi Wing, 28, yang mengambil keputusan bersara pada awal tahun ini mengejutkan pilihan keempat, Ong Ken Yon, 21, dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) 19-21, 21-16, 21-15 pada pusingan keempat di Stadium Juara, dekat sini, semalam.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan tamat, pemain yang mewakili Kuala Lumpur itu berkata, dia tidak meletakkan sebarang sasaran pada penyertaannya kali ini.

“Saya main untuk seronok kerana ini bukan kerja utama saya dan Kejohanan Kebangsaan adalah pertandingan pertama saya tahun ini.

“Saya memang tak fikir banyak, lagipun bukan mudah hendak lepasi halangan peringkat seterusnya,” katanya yang akan bertemu Aidil Sholeh Ali Sadikin dari BAM pada suku akhir, esok.

Ketika ditanya mengenai keputusannya menggantung raket, Chi Wing yang kini menjadi jurulatih memberitahu, sejak meninggalkan BAM, lima tahun lalu dan bergelar pemain profesional, dia berdepan pelbagai cabaran termasuk sukar mencari penaja sehingga mendorongnya bersara.

Sementara itu, dalam aksi perseorangan wanita, pilihan ketiga, Wong Ling Ching, 20
dari BAM mudah menundukkan wakil Selangor, K. Nilasha 21-9, 21-10.

“Saya masih belum berpuas hati dengan persembahan saya, pukulan saya tidak cukup kualiti,” kata Ling Ching ketika ditemu bual selepas perlawanan.

Mengulas mengenai sasarannya pada Kejohanan Kebangsaan, Ling Ching menjelaskan, dia menjangkakan untuk beraksi menentang Goh Jin Wei pada separuh akhir, tetapi malangnya pilihan pertama itu menarik diri.

Ching Ling yang berhajat untuk memperbaiki kedudukan ranking ke-88 dunia yang dihuninya pada ketika ini akan menyertai Indonesia Masters I (Super 100), September ini yang merupakan penyertaan sulungnya pada Jelajah Dunia.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya