JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih skuad ragbi tujuh sebelah (7s) kebangsaan, Nik Safuan Ismade Nik Man merancang memperbanyakkan lagi perlawanan ujian sebagai persediaan terakhir pasukan sebelum menyertai Sukan Asia di Hangzhou, China, September ini.
Pasukan negara dijangka berdepan cabaran skuad Thailand, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Taiwan pada bulan depan yang akan menjadi medan pemilihan pasukan terbaik bagi memburu misi empat terbaik pada temasya tersebut.
Nik Safuan Ismade memberitahu, persiapan pasukan bagi Sukan Asia itu berada pads landasan terbaik, namun terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi pasukan yang diberi julukan skuad Bunga Raya 7s itu.
“Cuma kebimbangan saya adalah mengenai kecederaan pemain kerana masa singkat. Jadi, kalau ada berlaku apa-apa kecederaan agak sukar untuk kita tukar pemain.
“Selain itu, untuk mengekalkan tahap kecergasan pemain, ini juga agak sukar dan satu cabaran buat pasukan. Justeru, saya akan buat yang terbaik dan perbanyakkan lagi perlawanan ujian antarabangsa,” katanya selepas perlawanan ujian antara Bunga Raya 7s dan Singapura 7s di Stadium Ragbi, Kompleks Sukan Johor, Mount Austin, di sini hari ini.
Pasukan kebangsaan menang tiga daripada empat perlawanan menentang pasukan republik itu pada perlawanan yang berlangsung semalam dan hari ini.
Sebelum ini, skuad Bunga Raya 7s muncul naib juara pada Kejohanan SEA 7’s yang berlangsung di Singapura, April lalu diikuti kejohanan di Thailand, Mei lalu dengan mendapat tempat ketiga.
Dalam pada itu, Nik Safuan Ismade mengakui masih belum memuktamadkan pasukan terbaik bagi menghadapi Sukan Asia Hangzhou yang bermula 23 September hingga 8 Oktober depan.
Bekas pemain ragbi kebangsaan itu memberitahu, seramai 18 pemain disenaraikan bagi menghadapi persediaan temasya sukan itu dan pemilihan akhir melibatkan 13 pemain akan dibuat pada awal September ini.
“Setakat ini, kita masih dalam peringkat pemilihan membabitkan 18 pemain. Jadi sekiranya ada kecederaan, saya boleh buat pertukaran pada bila-bila masa.
“Pemilihan akhir skuad terbaik mungkin akan dikeluarkan pada awal bulan September, melibatkan 13 pemain yang mendukung misi memburu kelompok empat terbaik,” katanya.-UTUSAN ONLINE