ISKANDAR PUTERI: ‘Tentera’ Johor Darul Ta’zim (JDT), Boys Of Strait (BOS) bersedia menggegar Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini yang bakal menjadi pentas Harimau Selatan mempertahankan Piala FA esok.
Menurut Wakil ketua BOS, Farihin Johari, detik 22 Julai bakal menjadi tarikh keramat buat penyokong JDT sekiranya juara Liga Super itu menewaskan Kuala Lumpur City (KL City) di laman sendiri.
“Ini adalah aksi final yang istimewa buat kami kerana berpeluang menjulang Piala FA di gelanggang sendiri dan ia akan menjadi sesuatu yang akan dikenang sampai bila-bila.
“Oleh itu, selaku pemain ke-12 JDT, kami akan memberikan sokongan padi kepada skuad Harimau Selatan untuk terus berjuang memastikan kemenangan dalam tangan, melengkapkan malam bersejarah bagi JDT,” katanya.
Dalam pada itu, Farihin berkata, BOS menjanjikan sesuatu yang istimewa pada perlawanan tersebut dan ‘chant’ baharu bagi meniup semangat juang JDT.
“Seperti aksi final yang lalu, kita telah siapkan tifo gergasi yang akan dinaikkan pada awal perlawanan akhir itu.
“Kita juga ada lagu baharu untuk pertemuan istimewa ini.
“Kami berharap semua penyokong JDT yang akan turun ke stadium pada Sabtu ini dapat bersama-sama BOS untuk memalu gendang perang buat pejuang Harimau Selatan di padang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi ingatan kepada penyokong Harimau Selatan supaya menjaga sikap dan tidak mencemarkan nama baik JDT selaku tuan rumah.
“Kami berharap tidak ada provokasi melampau dicetuskan sehingga mencacatkan hari istimewa itu nanti. Ini membolehkan semua yang hadir ke SSI menikmati kemeriahan bola sepak sebenar.
“Kami juga berharap permainan dapat ditamatkan dalam tempoh 90 minit permainan.
“Berdasarkan prestasi semasa, kami jangka JDT mampu menang 3-0, pasukan perlu berhati-hati dengan muslihat Bojan Hodak yang cukup berpengalaman,” katanya.
JDT menewaskan KL City 6-1 pada pertemuan terakhir mereka dalam aksi Liga Super, 3 Julai lalu.