Bajet sikit, LTdL dijanjikan gemilang

Bajet sikit, LTdL dijanjikan gemilang

AKSI perlumbaan peringkat pertama siri jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) Malaysia 2022 sejauh 157.3 kilometer dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun berdepan cabaran mengurus Le Tour de Langkawi (LTdL) kerana kekangan peruntukan kewangan, namun itu tidak menghalang Ketua Pegawai Operasi (COO), Emir Abdul Jalal berusaha menyediakan jelajah terbaik yang dijadual berlangsung 23 hingga 30 September nanti.

Untuk tahun ini, peruntukan bernilai RM8 juta dilihat menurun jauh berbanding kos penganjuran edisi terdahulu dengan perbelanjaan sekitar RM14 hingga RM17 juta.

Kata Emir, tanggungjawab ini diambilnya dengan positif memandangkan dia juga berpengalaman mengendalikan LTdL satu ketika dahulu, sekali gus menjadikannya bercita-cita mengembalikan kegemilangan perlumbaan tersebut.

Dia yang baru dilantik menyandang jawatan itu bulan lalu menyasarkan untuk mendapatkan penajaan bagi mengelak kejadian tahun lalu berulang di mana terdapat pasukan yang mengadu kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) kerana masih tidak mendapat wang penampilan daripada penganjur, Human Voyage.

“Masa dulu pun saya bersama Majlis Sukan Negara (MSN), masa LTdL ni cemerlang, jadi kita pun tahu dia punya formula dan resipi (menganjurkan perlumbaan ini).

“Macam mana pun, kita akan dapatkan penaja sebab bajet yang diberikan agak kecil, dan kita pun sebenarnya dengan bajet yang ada itu memang tak cukup. Kita kena realistik tentang bajet, kita kena cakap.

“Macam dulu, standard yang kita perlukan sebenarnya antara RM14 hingga RM15 juta, untuk dapatkan perlumbaan berkualiti yang diperlukan dalam ProSeries,” katanya.

Buat masa ini pihaknya dalam usaha meyakinkan sekurang-kurangnya tiga pasukan berstatus World Team (WT) menyertai LTdL dan proses menjemput pasukan-pasukan itu akan berjalan sebaik sahaja Tour de France selesai.

“Sasaran untuk kuota ProSeries, mesti ada 3 World Team, 7 Pro Team. Itu syarat minima. Kita cuba dapatkan sebab baru-baru ini jelajah di China pun semua WT saja.

“Situasi ekonomi sekarang memang ramai yang tak mampu buat ProSeries dan ikut kuota UCI. Tetapi kita juga sudah ada 8 pasukan yang memohon. Selepas selai Tour de France, wakil kita akan berurusan dengan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, kebimbangan mengenai status ProSeries LTdL 2024 berkemungkinan digugurkan daripada kalendar UCI jika bebanan hutang terdahulu tidak diselesaikan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya