PETALING JAYA: Jaguh pecut remaja negara, Muhammad Azeem Fahmi menepati ramalan melayakkan diri ke perlumbaan akhir 100 meter (m) lelaki pada Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok sebentar tadi.
Begitupun nasib berbeza menimpa seorang lagi wakil negara, Khairul Hafiz Jantan yang kandas di separuh akhir.
Azeem, 19, yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), menamatkan separuh akhir dengan catatan 10.35 saat (s) untuk berada di tempat kedua saringan pertama yang diungguli pelari Jepun, Ryuichiro Sakai yang mencatat 10.23s.
Khairul Hafiz yang beraksi di saringan kedua pula menamatkan perlumbaan dengan masa 10.50s untuk berada di tempat keenam yang menyaksikan Hiroki Yanagita dari Jepun dan Hassan Taftian (Iran) masing-masing layak ke final dengan catatan 10.14s serta 10.19s.
Turut melangkah ke final dalam saringan ketiga adalah wakil Arab Saudi, Mohammed Abdullah Abkar yang mengungguli catatan 10.24s dan Yang Chun Han (Taiwan) 10.33s.
Sementara itu, pelari wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli turut gagal ke perlumbaan akhir selepas menduduki tangga kelima dalam separuh akhir dengan masa 11.67s.
Azeem yang memegang rekod kebangsaan dengan masa 10.09s akan berentap pada perlumbaan akhir pukul 7.50 malam waktu tempatan bersama enam pesaing lain dari Taiwan, Qatar, Jepun, Iran dan Arab Saudi. – UTUSAN ONLINE