PARIS: Biarpun dikaitkan dengan Liverpool, bintang Perancis, Kylian Mbappe lebih teruja menyertai Arsenal jika memilih untuk berpindah ke Liga Perdana Inggeris (EPL).
Mbappe yang berdepan krisis kontrak dengan kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG) sebelum ini dikatakan bersedia memenuhi impian zaman kanak-kanaknya dengan berpindah ke Real Madrid.
Bagaimanapun, Real yang mahu berjimat tidak bercadang menambah pemain baharu selepas menandatangani penyerang Stoke City, Joselu.
Portal sukan Sepanyol, El Chiringuito mendakwa, Reds sudah bertemu PSG untuk mengemukakan tawaran 200 juta euro (RM1.01 bilion) bagi mendapatkan penyerang berusia 24 tahun itu.
Begitupun menurut akhbar Independent, sekiranya Mbappe berpindah ke England, Arsenal akan menjadi pilihannya.
Dia kagum dengan kemampuan Mikel Arteta menaikkan prestasi kelab London dan tertarik dengan misi pengurus tersebut mahu memenangi gelaran EPL pertama selepas dua dekad.
Legenda Arsenal, Ray Parlour berkata, biarpun berita tersebut mungkin hanya ‘mainan’ media, namun beliau berharap bekas penyerang Gunners, Thierry Henry dapat membawa Mbappe ke Emirates.
“Saya pasti Thierry boleh memainkan peranan jika ada minat daripada Arsenal dan Mbappe kerana pengaruhnya sebagai bekas pemain Perancis.
“Kita semua tahu khabar angin boleh menjadi agak bodoh tetapi betapa menariknya jika Arsenal boleh membawa pemain seperti Mbappe.
“Kami suka khabar angin dan gosip, ia sebahagian bola sepak. Itulah khabar angin yang anda mahu dengar sebagai peminat Arsenal,” kata Parlour.
Bagi PSG, mereka tetap bertegas Mbappe perlu dijual pada musim panas ini jika dia enggan menyambung kontrak yang tamat pada 2024.
Mbappe mahu menghabiskan semusim lagi bersama PSG, namun presiden kelab, Nasser Al-Khelaifi tidak rela hilang pemain terbaik mereka secara percuma. – AGENSI