PETALING JAYA: Nampaknya tiada cahaya di hujung terowong buat Kelantan FC selepas beberapa nama yang dicadangkan untuk membentuk konsortium bagi menyelamatkan pasukan tidak berminat untuk terjun ke dunia bola sepak.
Mereka juga mengakui bola sepak bukan ‘mainan’ yang boleh diceburi secara mendadak kerana mungkin mendatangkan risiko.
Situasi itu menyebabkan Kelantan yang terkenal dengan julukan The Red Warrior (TRW) dijangka terus berdepan musim ‘malap’ tahun ini dan sukar untuk kembali ke zaman kegemilangan mereka yang pernah meraih kejuaraan treble.
Salah seorang tokoh korporat yang dikatakan boleh menyelamat Kelantan FC, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, beliau tidak mahu terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak dan tidak tahu mengapa namanya dikaitkan dengan pasukan tersebut.
“Saya tidak mahu terlibat dan memang tidak berminat dengan bola, Kita berdoa sahaja (agar Kelantan bangkit), saya hanya mampu untuk menonton bola di kaca televisyen sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi tokoh korporat kelahiran Kelantan, Datuk Seri Mohamad Supardi Md. Noor berkata, beliau setakat ini tidak berminat untuk ‘pegang’ bola sepak Kelantan dan mahu memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Biarpun begitu, Ketua PKR Tanah Merah itu tetap mahu melihat Kelantan FC bangkit satu masa nanti kerana percaya negeri itu memiliki ramai bakat dalam bola sepak.
“Setakat ini, saya tidak berminat untuk pegang (bola) Kelantan kerana mahu memberikan tumpuan kepada PKR Tanah Merah berdepan PRN. Bola Kelantan boleh naik kembali, kena ada kepimpinan yang telus sebab kita ada ramai pemain berbakat.
“Hanya tinggal untuk dilatih dengan cara pengurusan yang baik, saya tidak kata pengurusan sebelum ini tidak bagus tetapi boleh diperbaiki lagi untuk tambah baik,” katanya.
Selain Ameer dan Supardi, turut dicadangkan untuk membentuk konsortium ialah Datuk Seri Hasmiza Othman atau Vida, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari, Datuk Mohd. Rowi Dollah dan Profesor Dr. Wan Kamal Wan Napi.
Kelmarin, legenda bola sepak Kelantan era 1980-an dan 1990-an, Wan Ezila Daud menggesa tokoh korporat berpengaruh negeri menubuhkan konsortium untuk menyelamatkan TRW.
Sebelum ini, Vida pernah menyuarakan hasrat untuk membeli Kelantan FC, namun sehingga kini tiada tindakan lanjut atau perjanjian ‘hitam putih’ antara usahawan kosmetik itu dengan pemilik kelab, Norizam Tukiman.