PETALING JAYA: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan melakukan apa sahaja yang termampu untuk memastikan Le Tour de Langkawi (LTdL) kembali dimasukkan dalam kalendar badan berbasikal dunia, UCI.
Kelmarin, UCI mengeluarkan perlumbaan ikonik itu daripada kalendar mereka gara-gara penganjur musim lalu gagal menjelaskan bayaran yuran penampilan dan tiket penerbangan kepada lima pasukan.
Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, LTdL harus dipertahankan dan surat rayuan kepada UCI sudahpun dihantar.
Katanya, PKBM kini mengharapkan kebijaksanaan Naib Presiden 1 mereka, Datuk Amarjit Singh untuk meyakinkan badan berbasikal itu agar menarik balik keputusan mereka dalam mesyuarat di Glasgow, Scotland esok.
Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI akan membawa semua dokumen bagi menyokong LTdL.
Kata Abu Samah, penganjur sebelum ini, Human Voyage (M) Sdn. Bhd. sudah menyelesaikan semua bayaran tertunggak hampir RM1 juta kepada lima pasukan seperti yang dituntut oleh UCI.
“Sebelum ini, saya difahamkan penganjuran 2024 yang akan dibekukan jika bayaran tidak dilunaskan tetapi tiba-tiba saya diberitahu, acara tahun ini pun dibekukan juga.
“Saya rujuk kepada Datuk Amarjit, beliau kata perkara itu betul. Bila saya tahu, saya rasa ini tamparan hebat kepada saya, sebab penganjur 2023 sedang buat persiapan.
“Saya agak terkilan kerana tiada pemberitahuan (prior notice) untuk 2023 dan tiba-tiba dikeluarkan daripada kalender.
“Tapi tidak mengapa, pada 31 Julai ini (esok) Datuk Amarjit akan ke Glasgow untuk bermesyuarat bersama UCI.
“Beliau akan membawa perkara ini untuk dibangkitkan dalam mesyuarat itu, agar LTdL 2023 boleh dianjurkan dan selebihnya.
“Kita sama-sama tunggu keputusan UCI, moga ada berita gembira,” katanya kepada Mingguan Malaysia.