LONDON: Kejayaan Carlos Alcaraz di dalam dan luar gelanggang tenis meletakkannya di landasan untuk bergelar pemain tenis pertama memiliki kekayaan mencecah AS$1 billion (RM4.53 bilion).
Selepas menjadi pemain No. 1 dunia paling muda pada usia 19 tahun 4 bulan tahun lalu, bintang muda Sepanyol berusia 20 tahun itu sudah mengumpul dua gelaran Grand Slam iaitu Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2022 serta Wimbledon yang baru dimenangi, Ahad lalu.
Memiliki senyuman manis dan daya tarikan menyaksikan dirinya menjadi rebutan dalam dunia pengiklanan, sekali gus mampu mengatasi kekayaan legenda bola sepak England, David Beckham.
Bekas pemain No.1 Britain, Andrew Castle mengakui, Alcaraz memiliki daya tarikan luar biasa dan kejayaan menewaskan Novak Djokovic untuk menjulang Wimbledon pertama meletakkan nilainya kini sebagai tinggi.
“Anda tidak mungkin dapat mengalahkan Djokovic melainkan anda benar-benar memiliki keistimewaan.
“Dunia tenis teruja dengan Alcaraz tetapi pemain muda itu mampu melangkaui populariti tenis. Dia seorang pemuda yang sihat dan baik serta miliki corak permainan menarik.
“Ramai orang memujanya dan dia mampu menjadi lebih besar daripada sukan tenis. Alcaraz berada di landasan menjadi salah seorang ahli sukan berpendapatan tinggi dan pada usia 20 tahun dengan apa yang dia ada mengapa tidak cuba meraih AS$1 bilion,” kata Castle.
Melihat Djokovic serta pemain hebat Switzerland Roger Federer, 41, yang telah bersara, serta pemain Sepanyol Rafael Nadal, 37, yang cedera, masing-masing mengumpul pendapatan berjuta-juta.
Sebelum beraksi di Wimbledon, Alcaraz telah meraih perjanjian 7 juta pound (RM42 juta) dengan Rolex, Calvin Klein, Louis Vuitton, BMW dan pembuat raket, Babolat.
Kejayaan memenangi Wimbledon membolehkan dia meraih 2.3 juta pound (RM13.7 juta) dan tambahan 50,000 pound (RM296,852) daripada jenama jam mewah Rolex.
Rekod pemain termuda memenangi Wimbledon masih menjadi milik bintang Jerman, Boris Becker pada 1985 ketika berusia 17 tahun. – AGENSI