Aaliyah kembali meluncur di Putrajaya

Aaliyah kembali meluncur di Putrajaya

Aaliyah Yoong Hanifah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas empat tahun sepi daripada pe­nganjuran kejohanan sukan air, lebih 60 peserta, termasuk ratu luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah kembali menghangatkan Kompleks Sukan Air Putrajaya pada Sabtu dan Ahad ini.

Aaliyah yang masih segar dengan kejayaan memenangi pingat gangsa Kejohanan Dunia Bawah-21 di Mexico, bulan lalu akan pulang ke tanah air untuk menyertai Kejohanan Ski dan Papan Luncur Air ­Malaysia.

Sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, Persekutuan Luncur Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF) turut menyepi daripada menganjurkan sebarang kejohanan dan kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah ialah pada 2019.

Negara seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Hong Kong dan New Zealand ­telahpun mengesahkan penyertaan atlet kebangsaan mereka untuk bersaing dengan jaguh daripada negara ini dalam kejohanan itu.

Aaliyah, 19, yang kini ­berpangkalan di Amerika Syarikat kerana menyambung pengajian di Florida Southern College sebelum ini menyempurnakan lompatan 45.2 meter untuk meraih gangsa acara lompatan.

Kejayaan itu membolehkannya muncul anak Malaysia pertama memenangi ­pingat di peringkat dunia dalam sukan luncur air.

“Saya akan menyertai acara slalom pada sebelah pagi iaitu sekitar pukul 8.40 pagi pada Sabtu dan Ahad.

“Selepas itu, pada tengah hari saya akan bertanding dalam acara tricks untuk ke­dua-dua hari itu juga,” kata Aaliyah.

Aaliyah yang juga akan menyertai acara lompatan memberitahu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia mula mempamerkan peningkatan dalam acara tersebut dan amat berharap peminat dapat hadir ke Kompleks Sukan Air bagi memberikan sokongan kepada wakil negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN