TAIPEI: Beregu lelaki muda negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun melengkapkan hari gemilang Malaysia di Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan apabila berjaya menewaskan pasangan tuan rumah, Yang Po Han-Lu Ching Yao dalam aksi akhir yang berlangsung di Arena Tian Mu, Universiti Taipei sebentar tadi untuk bergelar juara.
Wei Chong dan Kai Wun memiliki kelebihan untuk mencatatkan kemenangan di set pertama, namun kegopohan pada saat akhir menyaksikan mereka akur tewas 20-22 kepada pilihan kedua kejohanan itu.
Bagaimanapun Wei Chong dan Kai Wun segera memperkemaskan permainan mereka untuk melakar kebangkitan di set kedua dan mereka berjaya mengheret perlawanan ke set penentuan selepas menang dengan keputusan 21-17.
Segalanya tampak memihak pasangan negara ini apabila Wei Chong dan Kai Wun meneruskan momentum mereka untuk mengatasi pasangan No. 15 dunia itu sebelum menoktahkan kejayaan dengan keputusan 21-14 di set ketiga.
Kemenangan ini memastikan mereka berjaya mempertahankan gelaran juara yang dimenangi pada edisi lalu.
Sebagai juara, Wei Chong dan Kai Wun membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$ 16,590 (RM 77,583) berserta trofi kejuaraan dan juga pingat.
Terdahulu, pasangan beregu campuran negara, Toh Ee Wei dan Chen Tang Jie turut dimahsyurkan sebagai juara Terbuka Taiwan selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Chiu Hsiang Chieh – Lin Xiao Min dengan keputusan 21-10, 21-8.
Kemenangan ini turut menamatkan penantian 19 tahun negara di Terbuka Taiwan apabila kali terakhir pasangan beregu campuran negara bergelar juara adalah menerusi Koo Kien Keat dan Wong Pei Tty pada 2004.