Uncle Maniam pendorong Azlan main sepak takraw

Uncle Maniam pendorong Azlan main sepak takraw

AZLAN MUBIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPAK takraw sering dianggap sebagai sukan orang Melayu dan di negara ini, majoriti yang bermain sukan itu adalah dalam kalangan bangsa tersebut.

Namun, bagi bekas pemain sepak takraw kebangsaan, Mohd Azlan Abdul Mubin, walaupun sukan itu cukup popular dalam kalangan bangsa Melayu, tetapi bagi dirinya insan yang bertanggungjawab memupuk rasa cintanya terhadap sukan tersebut adalah ‘Uncle Maniam’.

Uncle Maniam adalah lelaki berketurunan India yang merupakan jiran Azlan ketika tinggal di Taman Selasih, Kulim, Kedah.

AZLAN (berdiri, tiga dari kanan) ketika mewakili negara.

“Antara kenangan yang saya tak boleh lupa sampai sekarang dan saya tak pernah cerita dekat sesiapa, tak pernah dedahkan pun tetapi semua ahli keluarga saya tahu tentang Uncle Maniam.

“Dia jiran saya, anak dia nama Ramesh dan seorang lagi Vicky, Ramesh yang main takraw bersama Uncle Maniam, tapi Vicky tidak, masa itu saya baru berusia 12 tahun.

“Sedar tak sedar sebenarnya Uncle Maniam antara insan yang mendorong saya sampai pernah mewakili negara.

“Sebab apa saya kata macam tu, masa itu saya masih budak dan kadang-kadang kita malas, jadi, Uncle Maniam ni bila nampak saya tak ada di gelanggang, dia cari saya di rumah dan bertanya kepada mak sebelum paksa saya keluar bermain,” katanya.

BERSAMA keluarga tercinta.

Azlan yang kini pengulas sukan Astro Arena memberitahu, waktu itu gelanggang takraw berada di kampung berhampiran kediamannya iaitu Kampung Keladi.

“Saya masih ingat masa tu saya naik motosikal Suzuki RC, Uncle Maniam jarang bawa anak dia, Ramesh tetapi dia akan bawa saya naik motor.

“Dia paksa saya duduk di belakang, kadang-kadang selain main di gelanggang Kampung Keladi, ada satu lagi gelanggang dekat Taman Kobis, itu gelanggang yang selalunya orang India main.

“Memang kedengaran agak janggal, tapi sebenarnya orang India di Kedah memang gemar bermain takraw secara suka-suka.

“Gelanggang tu main kat atas jalan tar, jadi sebelah petang dia orang akan main, pada awalnya saya takut, tapi suasana dekat situ bagus, tingkatkan keyakinan kita,” ujarnya.

Bagaimanapun, Uncle Maniam kini telah lama meninggal dunia dan keluarganya juga tidak lagi menetap di Taman Selasih.

“Kali terakhir saya bertemu anak uncle Maniam iaitu Vicky, dia telah bekerja di Singapura dan pernah datang beraya,” ungkap Azlan yang berterima kasih kepada Uncle Maniam kerana menjadi watak penting mendorongnya sehingga berjaya mewakili negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya