PETALING JAYA: Selepas sembilan tahun berkhidmat dengan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Pengurus Besar badan induk itu, Al Ardy Ally Rahim mengambil keputusan untuk berkelana ke Thailand menjadi jurulatih negara itu.
Ardy yang memulakan tugasnya secara rasmi pada 1 Julai lalu ditawarkan kontrak selama dua tahun oleh Persatuan Raket Skuasy Thailand (TSRA) untuk cuba meningkatkan taraf barisan pemain di negara tersebut menjelang Sukan Asia Hangzhou September depan serta Sukan Sukan SEA Thailand 2025.
Bagi Ardy, tugas melatih bukanlah perkara yang asing untuknya memandangkan dia pernah berkhidmat dalam posisi itu dibawah program Pusat Kecermelangan Sukan (PKS) Squash di Universiti Malaya.
“Kerjaya saya dalam dunia skuasy bermula sebagai seorang pemain dan selepas itu saya menceburi bidang kejurulatihan sejak umur 15 tahun lagi.
“Minat saya terhadap melatih seseorang tidak pernah hilang. Skuasy di Thailand pula sedang meningkat dan saya percaya dengan pengalaman yang saya ada insyaAllah saya boleh membantu mereka melonjak kearah yang lebih bagus.
“Skuasy di Thailand masih lagi kecil tetapi sedang menunjukkan arah yang semakin positif, mereka mempunyai pemain-pemain muda yang hampir setaraf dengan pemain remaja kita di Malaysia dan mereka sedang agresif untuk mempopularkan sukan skuasy di sana.
“Sasaran paling utama saya adalah yang pertama untuk cuba menjadikan pasukan skuasy Thailand antara tiga terbaik di benua Asia Tenggara dan meningkatkan jumlah pemain skuasy yang aktif di Thailand,” jelas Ardy yang dihubungi Utusan Malaysia.
Ardy memulakan perkhidmatan sebagai Koordinator Projek bersama SRAM pada 2014 dan dua tahun kemudian beralih menjadi Pegawai Pembangunan badan induk itu sebelum ditugaskan menjadi Eksekutif Kejohanan dan Acara SRAM pada 2019, dan sempat memegang kerusi sebagai Pengurus Besar selama setahun sejak tahun lalu.
Selain Ardy, antara tenaga tempatan yang kini melatih pasukan luar negara adalah legenda skuasy negara, Ong Beng Hee yang mengendalikan pasukan kebangsaan Amerika Syarikat sejak tahun lalu.