PETALING JAYA: Hanya tujuh bulan selepas digandingkan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuktikan mereka memang berhak berada dalam program Road to Gold (RTG) apabila melangkah ke final beregu campuran badminton Terbuka Taiwan hari ini.
Turun sebagai pilihan keempat, pasangan No. 19 dunia itu menyingkirkan beregu tuan rumah, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 21-14, 21-19 dalam masa 34 minit pada separuh akhir di Arena Tian Mu.
Juara Orleans Masters itu kini akan berdepan satu lagi pasangan Taiwan yang menghuni ranking ke-50 dunia Chiu Hsiang Chieh-Lin Xiao Min dalam perlawanan akhir esok.
Hsiang Chieh-Xiao Min mara selepas muda menumpaskan beregu senegara, Tseng Min Hao-Hsieh Pei Shan 21-10, 21-8 pada separuh akhir.
Semifinals contest sees Ye/Lee go up against Chen/Toh.#BWFWorldTour #TaipeiOpen2023 pic.twitter.com/uEC9PEPqpp
— BWF (@bwfmedia) June 24, 2023
Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berkata, kemenangan Tang Jie-Ee Wei adalah langkah penting dalam misi mereka untuk mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.
“Hari ini mereka (Tang Jie-Ee Wei) bermain dengan sangat baik tetapi mungkin agak terburu-buru di hujung set kedua apabila bermain kurang tenang.
“Esok kita perlu terus fokus. Biarpun lawan berada di ranking lebih rendah, namun mereka memiliki kelebihan bermain di laman sendiri,” kata Nova yang mula membimbing Tang Jie-Ee Wei pada Disember tahun lalu.
Ini perlawanan akhir ketiga buat beregu No. 3 negara itu tahun ini selepas turut melangkah ke final Cabaran Antarabangsa Iran dan Masters Orleans yang menyaksikan mereka menjuarai kedua-dua kejohanan itu.