Tang Jie-Ee Wei bukti mereka layak sertai RTG

Tang Jie-Ee Wei bukti mereka layak sertai RTG

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meraih gelaran juara Terbuka Taiwan 2023 semalam.-IHSAN BAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran muda negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuktikan mereka layak berdiri setaraf dengan dua lagi pasangan utama negara apabila meraih gelaran juara Terbuka Taiwan 2023, semalam.

Gelaran ini hadir selepas hanya beberapa hari lalu mereka diumumkan bersama-sama perseorangan lelaki, Ng Tze Yong dan skuad hoki lelaki negara dalam program Road to Gold (RTG), biarpun ramai yang sangsi dengan kemampuan mereka.

Tang Jie dan Ee Wei yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan tidak berdepan masalah untuk memastikan kejuaraan menjadi milik mereka selepas menumpaskan pasangan tuan rumah, Chiu Hsiang Chieh-Lin Xiao Min dengan keputusan 21-12, 21-18 dalam tempoh 30 minit.

Lebih manis kejayaan mereka ini turut menamatkan penantian 19 tahun negara di Terbuka Taiwan bagi acara beregu campuran, di mana kali terakhir pasangan Malaysia berjaya bergelar juara adalah menerusi Koo Kien Keat dan Wong Pei Tty pada edisi 2004.

Bagi jurulatih negara, Nova Widianto, perkembangan mendadak Tang Jie dan Ee Wei sememangnya sesuatu yang positif memandangkan sebelum ini wujud tohmahan ke atas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang dikatakan menganaktirikan skuad beregu campuran negara dalam kem kebangsaan selepas kebanyakkan pemain senior ambil keputusan untuk beralih menjadi pemain profesional.

“Corak permainan hari ini(semalam) amat bagus kerana dari awal mereka sudah menyerap taktikal dan tidak memberi sebarang peluang pasangan Taiwan untuk berkembang.

“Walaupun perlawanan akhir tadi nampak senang, tetapi kejohanan bertaraf 300 ini tidak mudah juga sebab mereka sudah menyertai enam kejohanan berturut-turut.

“Saya berpuas hati dengan tindak balas Tang Jie hasil penilaian saya terhadapnya di Kejohanan Terbuka Indonesia tempohari, dan sejak mereka memulakan aksi di kejohanan ini (Terbuka Taiwan) mereka memberikan tindak balas yang lebih baik.

“Mereka jua lebih memberikan tumpuan dan kurang melakukan kesilapan dalam gelanggang,” jelas Nova yang hanya mula menggandingkan Tang Jie dan Ee Wei sejak Disember tahun lalu.

Dalam tempoh sesingkat ini, mereka sudah pun meraih empat kejuaraan, antaranya Kejohanan Antarabangsa Bangladesh, Kejohanan Antarabangsa Fajr, Iran serta Kejohanan Masters Orleans, Perancis sekaligus meletakkan mereka kini menghuni di tangga ke 19 dunia.

AKSI Tee Kai Wun dan Man Wei Chong dalam terbuka Taiwan.-IHSAN BAM

Sementara itu, kecemerlangan skuad badminton negara di Terbuka Taiwan diteruskan oleh beregu lelaki negara, Tee Kai Wun dan Man Wei Chong yang berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka tahun lalu apabila menumpaskan wakil tuan rumah, Yang Po Han-Lu Ching Yao

Biarpun tumbang di set pertama, Kai Wun dan Wei Chong jelas tidak gentar untuk melakar kebangkitan walaupun berdepan lawan yang berada di kedudukan lebih baik iaitu sebagai pilihan kedua kejohanan sebelum mencatatkan kemenangan 20-22, 21-17, 20-14 dalam tempoh 71 minit.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya