PETALING JAYA: Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Natasha Roslan meraih suntikan semangat untuk mengukuhkan lagi karier boling apabila menerima tajaan daripada Co-opbank Pertama (CBP).
Tajaan wang tunai berjumlah RM20,000 dimeterai menerusi satu perjanjian antara firma sukan, ESM Internationale Sdn. Bhd. (ESM) yang menguruskan dua atlet terbabit bersama CBP di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), hari ini.
CBP dalam satu kenyataan berkata, inisiatif mereka itu sebagai sokongan terhadap perjalanan kerjaya atlet skuad boling kebangsaan tersebut.
Perjanjian penajaan itu ditandatangani oleh Siti Safiyah dan Natasha Rosian bersama Ketua Pegawai Operasi CBP, Syaiful Arief Syah Mohamed Said.
Majlis turut disaksikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim; Ketua Pegawai Eksekutif ESM, Mohd. Faizal Othman dan Ketua Pegawai Komersial CBP, Mohd. Faris Kamaruddin.
Dalam majlis sama, Siti Safiyah dan Natasha turut diumumkan sebagai Duta Boling KLGCC bagi tahun 2023/2024.
Sebagai rekod, bangunan ikonik KLGCC yang dimiliki dan diuruskan oleh Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) adalah lokasi golf bertaraf dunia pada lokasi strategik yang berprestij dan premium.