PETALING JAYA: Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) menandatangani perjanjian dengan US Kids Golf (India) Private Limited untuk hak tunggal bagi menganjurkan Jelajah Golf US Kids di Malaysia bermula tahun ini hingga 2025.
SportExcel akan menganjurkan enam kejohanan Jelajah Tempatan US Kids setiap musim termasuk kejohanan sehari jelajah tempatan pada penghujung musim dengan penyertaan pemain lelaki dan perempuan yang berumur lima hingga 18 tahun.
Pengarah Eksekutif SportExcel, C. Sivanandan berkata, mereka berbesar hati untuk menganjurkan jelajah itu kerana ia adalah medan yang baik untuk pemain muda mengasah bakat di peringkat akar umbi.
“Kami akan mengadakan enam pusingan jelajah setiap tahun dengan jelajah tahun ini akan diadakan mulai Sptember hingga Disember di sekitar Lembah Klang. Bagaimanapun, kami hanya akan memuktamadkan tarikh dan venue pada penghujung Julai ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi SportExcel, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar berkata, perjanjian itu membuka adalah peluang bagi pemain muda untuk meningkatkan kemahiran dalam permainan pada pertandingan yang bersesuaian dengan peringkat umur tanpa perlu membayar kos perjalanan jauh di luar negara.
“Kini pemain muda kita mempunyai platform yang hebat untuk bersaing dengan pemain antarabangsa. Siri jelajah tempatan ini dianjurkan di Malaysia, pemain berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk melayakkan diri ke kejohanan antarabangsa dalam dan luar negara,” katanya.
Dalam pada itu katanya, menerusi ejohanan jelajah tempatan itu, pemain boleh mengumpul mata untuk meningkatkan status keutamaan kelayakan ke Kejohanan Dunia Golf US Kids 2024.
SportExcel memberi sumbangan besar kepada golf remaja di Malaysia, termasuk melahirkan bintang muda seperti pemenang pingat emas wanita Sukan SEA 2023, Ng Jing Xuen dan pemenang pingat emas acara lelaki Sukan SEA 2021, Ervin Chang.