JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari berpuas hati dengan persembahan pemain untuk menempah tiket ke aksi final Piala FA selepas menewaskan Selangor FC 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.
Kejayaan membantu pasukan melangkah ke perlawanan akhir sekali gus berusaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu itu didedikasikan kepada pemilik kelab itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Lebih menarik, Stadium keramat JDT menjadi pentas akhir perlawanan akhir itu nanti apabila skuad Harimau Selatan menjadi calon favourite untuk memenangi perlawanan itu setelah mempunyai rekod cemerlang beraksi di laman sendiri.
“Kemenangan 4-0 itu bukanlah mudah diraih kerana kita berdepan dengan pihak lawan yang hebat, ia menjadi cabaran getir buat pemain untuk memberikan aksi terbaik sepanjang tempoh 90 minit permainan.
“Persiapan dilakukan pemain sejak berminggu yang lalu membuahkan hasil setelah berjaya menempah tempat ke aksi final Piala FA pada Julai ini.
“Kita turut dedikasikan kemenangan ini kepada bos JDT (Tunku Ismail) yang banyak berjasa kepada kelab ini. Beliau sentiasa menyokong kelab dalam apa juga keadaan dan memberi galakan untuk mengejar impian yang lebih tinggi,” katanya.
Pada perlawanan separuh akhir Piala FA malam tadi, Arif Aiman Hanapi muncul wira pasukan apabila meledak hatrik ketika membantu pasukan menundukkan Red Giant, manakala satu gol lagi dijaringkan Fernando Forestieri melengkapkan malam gemilang JDT.
Solari menghamburkan pujian kepada Arif Aiman yang disifatkan bakal menjadi penyerang prolifik buat Harimau Selatan dan mampu menjadi watak utama buat pasukan pada kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
“Dia bukan sahaja mempunyai sentuhan penyudah yang berbisa, malah boleh bermain di pelbagai posisi selain bijak membaca permainan ketika membantu rakan pasukan melakukan serangan.
“Dia juga rajin membantu pasukan ketika bertahan, kualiti yang ada ini mampu menjadikan dia pemain yang lebih baik dan percaya dia masih boleh terus menyinar pada masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, pengendali kelahiran Argentina itu mempertahankan keputusan dengan merehatkan ayam tambatan JDT, Bergson Da Silva dengan menurunkan Diogo Luis Santo.
Katanya, syarat had menurunkan pemain import memaksanya melakukan penggiliran pemain dan memberi peluang kepada Diogo untuk mendapatkan minit permainan.
“Walaupun Bergson direhatkan, kehadiran Diogo amat membantu mengisi kekosongan itu dengan melakukan hantaran bahaya serta mengkucar-kacirkan pertahanan lawan, ternyata dia masih berbisa dan memberi impak pada perlawanan,” katanya.