KUALA LUMPUR: Acara perseorangan lelaki dan beregu campuran menjadi sandaran skuasy untuk memburu dua pingat emas yang disasarkan dalam Sukan Asia di Hangzhou, China, September ini.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam berkata, berdasarkan pencapaian, pertaruhan terbaik ialah menerusi pemain No. 17 dunia, Ng Eain Yow.
“Pada Sukan Asia, semua acara iaitu berpasukan, perseorangan dan beregu campuran memiliki peluang terbaik memenangi pingat, jadi kita berharap dapat mencapai sasaran yang kita buat bersama Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membawa pulang dua pingat emas.
“Eain Yow dan S. Sivasangari akan beraksi dalam acara perseorangan berdasarkan pencapaian pada Kejuaraan Individu Asia, baru-baru ini.
“Mohammad Syafiq Kamal serta Aifa Azman hampir pasti beraksi dalam beregu campuran,” katanya pada majlis pengumuman penajaan pakaian pemain skuasy oleh Asics untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Bagaimanapun, Maniam memberitahu, pemilihan beregu campuran belum mencapai kata muktamad dan ia hanya diputuskan selepasi Kejuaraan Beregu Campuran Asia di Hangzhou pada 26 hingga 30 Jun ini.
“Kita akan hantar tiga beregu campuran Syafiq-Aifa dan Ivan Yuen-Rachel Arnold yang diletakkan sebagai pilihan pertama dan kedua.
“Addeen Idrakie-Ainaa Amani pula akan diletakkan sebagai pasangan ketiga yang merupakan pilihan keenam kejohanan,” ujarnya.
Jelasnya, kejohanan di Hangzhou menjadi platform untuk melihat gandingan terbaik dan berpontesi untuk dihantar ke Sukan Asia.
“Walaupun, Aifa dan Syafiq pasangan utama negara tetapi kita masih mahu melihat prestasi beregu lain,” tambahnya.
Mengulas lanjut mengenai acara perseorangan pada Sukan Asia, Maniam berkata, selain, Eain Yow yang sudah pasti diturunkan sebagai perseorangan pertama lelaki, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar berkemungkinan diletakkan sebagai perseorangan kedua.
Katanya lagi, untuk perseorangan wanita pula, pemain yang bakal mengiringi Sivasangari masih belum diputuskan dan ia terbuka kepada Noor Ainaa Amani Ampandi, Aira Azman, Chan Yiwen dan Yee Xin Ying.