PETALING JAYA: Skuad bawah 17 (B-17) tahun negara menempah laluan berliku di Piala Asia B-17 apabila tumpas 0-4 kepada Yemen pada aksi pembukaan Kumpulan A di Bangkok, Thailand, semalam.
Kekalahan tersebut menyaksikan anak-anak buat Osmera Omaro perlu turun dengan misi wajib menang dalam baki dua perlawanan peringkat Kumpulan A untuk mara ke peringkat seterusnya.
Biarpun sedar bakal berdepan cabaran sengit pasukan tuan rumah, Thailand pada aksi kedua, Osmera tetap yakin anak-anak buahnya masih mampu mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
“Bola sepak memang begini, kadang-kadang kita menang, kadang-kadang kita kalah. Kita akan bangkit dalam menang perlawanan yang seterusnya (menentang Thailand dan Laos),” katanya.
Sementara itu, Osmera turut memuji corak permainan pasukan Yemen yang dilihat bermain dengan baik, menguasai bola dan berjaya mematahkan pergerakan pemainnya.
“Kita kena akui Yemen adalah pasukan yang baik dan mereka beraksi cemerlang ketika menentang Malaysia, tahniah diucapkan kepada mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin masih menaruh keyakinan peluang pasukan B-17 tetap ada dan mahu pemain bangkit dalam perlawanan seterusnya.
“Saya tak sangka kita akan kalah perlawanan pertama. Pasukan ini, kita buat persiapan awal iaitu selama dua tahun termasuk kita menghantar mereka ke Qatar untuk berlatih dan juga mengadakan perlawanan persahabatan.
“Saya ada menonton sehingga ke minit 90. Tapi itu yang terjadi, namun saya berharap mereka akan bangkit menentang Thailand nanti,” katanya.
Jika dilihat daripada segi kualiti, pemain Malaysia memiliki ramai pemain dengan keupayaan teknikal individu yang baik seperti pemain sayap, Muhammad Arami Wafiy, Adib Ibrahim, Muhammad Anjasmirza dan ramai lagi.
Malah, sekiranya pemain-pemain ini dapat meningkatkan prestasi, pasti ia akan mengubah corak permainan Malaysia aksi bertemu Thailand dan Laos selepas ini bagi menghidupkan semula peluang layak ke peringkat seterusnya.
Skuad B-17 negara meletak sasaran untuk sekurang-kurangnya layak ke peringkat separuh akhir yang mana jika mereka berjaya berbuat demikian, mereka akan menempah tiket ke Piala Dunia B-17 yang akan berlangsung pada November depan.UTUSAN ONLINE