SEPANG: Selepas kembali ke prestasi terbaik, S. Sivasangari memasang misi besar untuk menukar pingat perak yang dimenangi pada Sukan di Indonesia lima tahun lalu kepada emas apabila temasya berlangsung di Hangzhou, China, September nanti.
Baru sahaja muncul naib juara Kejohanan Asia di Hong Kong, Ahad lalu, bintang skuasy negara itu berkata, berbanding di temasya 2018, pertembungan antara pemain senior dan muda tidak akan berlaku lagi di Hangzhou.
Dia sebaliknya akan menggalas tugas utama untuk menyumbangkan emas selepas persaraan Datuk Nicol David, pemain yang mengalahkannya dalam perlawanan akhir Sukan Asia lima tahun lalu.
“Ini peluang terbaik untuk menang pingat emas yang menjadi sasaran saya dan temasya lalu saya menang perak yang mana ia juga sebenarnya satu kejutan.
“Kali ini, saya mahu melakukannya. Walaupun tekanan menanti, saya mahukan pingat emas,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kelmarin sebaik sahaja tiba dari Hong Kong.
Sivasangari, 24, yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan akan pulang ke sana pada hujung bulan ini memberitahu pada temasya kali ini, rata-rata pencabar berada dalam kumpulan usia lebih kurang sama.
“Saya bakal berdepan cabaran daripada pemain Hong Kong, selain Satomi (Watanabe) dari Jepun dan tidak terkecuali pemain veteran India, Joshna Chinappa yang saya rasakan akan berhabisan di Hangzhou nanti.
“Tahap kualiti pemain yang ada sekarang sangat tinggi, saya jangkakan daripada pusingan pertama lagi persaingan akan sengit,” ujarnya.
Jaguh Hong Kong, Chan Sin Yuk mengecewakan Sivasangari bakal menjadi cabaran terbesar di China.
Menurut Sivasangari, peraturan Sukan Asia yang hanya membenarkan dua wakil bagi setiap kategori akan menjadikan bilangan pemain dalam undian utama tidak ramai.
“Peraturan itu sebenarnya bagus tetapi persaingan akan menjadi semakin sengit kerana setiap negara sudah tentu akan turunkan pemain terbaik masing-masing,” kata pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah itu.
Edisi ke-19 Sukan Asia akan berlangsung dari 23 September hingga 19 Oktober, dan skuasy berharap untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian pada temasya terakhir di mana mereka membawa pulang dua emas, satu perak dan satu gangsa.