Sivasangari, Eain Yow selangkah hampiri gelaran Asia - Utusan Malaysia

Sivasangari, Eain Yow selangkah hampiri gelaran Asia

S. Sivasangari (kanan) akan menentang Chan Sin Yuk pada perlawanan akhir Kejohanan Asia di Hong Kong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  S. Sivasangari dan Ng Eain Yow hanya selangkah lagi untuk merangkul kejuaraan skuasy Asia apabila mengesahkan tiket ke perlawanan akhir di Hong Kong hari ini.

Pemain No. 50 dunia, Sivasangari yang terlebih dahulu turun ke gelanggang mengejutkan pilihan pertama, Satomi Watanabe 11-9, 14-12, 11-8 dalam masa 33 minit, sekali gus melebarkan rekod pertemuan kepada 6-0 ke atas Watanabe.

Kejayaan anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu melangkah ke perlawanan akhir bakal menyaksikan kemarau selama lapan tahun tanpa gelaran Asia untuk perseorangan wanita bakal berakhir jika dia berjaya menewaskan pencabarnya, esok.

Kali terakhir Malaysia menjuarai perseorangan wanita ialah menerusi bekas juara dunia lapan kali, Datuk Nicol David pada 2015 dan ratu skuasy negara itu pernah memenangi gelaran Asia sebanyak lapan kali.

Lawan Sivasangari pada perlawanan akhir ialah wakil tuan rumah yang menghuni ranking No. 39 dunia, Chan Sin Yuk setelah pemain berusia 21 tahun itu mengejutkan rakan senegaranya yang berada di tangga ke-24 dunia, Tomato Ho 7-11, 11-5, 11-5, 11-7.

NG EAIN YOW (depan) berpeluang mempertahankan gelaran perseorangan lelaki apabila menentang V. Senthilkumar pada Kejohanan Skuasy Asia di Hong Kong esok.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, pilihan pertama, Eain Yow mengetepikan cabaran wakil tuan rumah, Henry Leung
11-5, 11-8, 12-10 dalam masa 43 minit.

Pemain No. 17 dunia itu bakal turun ke gelanggang, esok, membawa misi mempertahankan gelaran yang dimenanginya di Islamabad, Pakistan, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, impian peminat skuasy negara untuk menyaksikan pertembungan dua wakil Malaysia dalam aksi final perseorangan lelaki tidak kesampaian apabila Ivan Yuen yang menghuni ranking No. 66 dunia dikejutkan oleh pemain ke-115 dunia, V. Senthilkumar dari India 4-11, 6-11, 11-8, 7-11 dalam satu lagi separuh akhir. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya