MANCHESTER: Anak kepada bekas Perdana Menteri Qatar, Sheikh Jassim Hamad Al Thani dilaporkan berjaya dalam bidaan untuk menjadi pemilik baharu Manchester United.
Ahli perbankan itu menghantar bidaan kelima dan terakhir pada minggu lalu dalam usaha memenangi bidaan dan mengatasi pesaingnya yang juga jutawan Britain, Sir Jim Ratcliffe.
Laporan di Qatar itu dikeluarkan selepas Ratcliffe yang juga jutawan INEOS dari Britain itu mendahului saingan untuk mendapat ‘lampu hijau’ dari keluarga Glazer bagi memiliki United.
Bagaimanapun, media Qatar, Al Watan yang dimiliki oleh bapanya, Jassim Jaber Al Thani melaporkan keluarga Glazer telah menerima bidaan Sheikh Jassim.
Media terbabit memuatnaik di media sosial mereka bahawa pengumuman bahawa rundingan itu akan diselesaikan dalam masa terdekat dengan Sheikh Jassim bal menjadi pemilik United.
Proses rundingan sudah berlarutan terlalu panjang dengan Avram dan Joel Glazer serta Raine Group kekal berahsia untuk mengumumkan pembida yang terpilih.
Sheikh Jassim membida untuk pemilikan 100 peratus yang membawa kepada berakhirnya pembabitan Glazer dalam pasukan itu.
Sementara Ratcliffe pula menawarkan untuk menguasai sekitar 60 peratus dalam saham pasukan dan berminat untum mengekalkan Avram serta Joel dalam kapasiti tertentu.
Ketidakpastian itu jelas menjejaskan perancangan pasukan untuk jendela perpindahan musim panas yang akan dibuka hari ini.
Pemilik Manchester United dari Amerika Syarikat (AS) itu melancarkan proses jualan rasmi kelab pada penghujung tahun lalu dan menerima beberapa tawaran, termasuk Ratchliffe dan ahli perniagaan Finland, Thomas Zilliacus. – AGENSI