PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menegaskan, beliau tidak mengemukakan permintaan melampau kepada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.
Isnin lalu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh merangkap sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa program Road to Gold (RTG) bersetuju meluluskan segala tuntutan yang dikemukakan Azizulhasni selepas pelumba berusia 35 tahun meluahkan kekecewaannya di media sosial.
Azizulhasni mendedahkan antara permintaannya adalah untuk mendapatkan tempat tinggal serta pengangkutan untuk berulang-alik ke tempat latihan yang terletak di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.
Pelumba yang diberi julukan The Pocket Rocketman telah membuktikan dia berhak mendapat semua keistimewaan dalam program elit sukan negara apabila merampas semula pingat emas acara keirin dan pecut pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) minggu lalu, hanya setahun selepas menjalani rawatan pemulihan pembedahan jantung.
“Saya hanya mengetahui perkara ini (kelulusan RTG) melalui berita, dan masih belum dapat perincian tentang permintaan daripada pihak mereka, mungkin perjumpaan saya bersama Penyelaras RTG, (Datuk) Stuart (Ramalingam) Isnin depan, baru akan dapat gambaran yang lebih jelas.
“Bila saya balik ke Malaysia, saya minta bantuan dari segi penginapan, rumah. Kerana mengikut konsep asal MSN, atlet akan duduk di hostel, tetapi saya dalam situasi yang berbeza kerana saya sudah berkeluarga, tambahan di sana (Melbourne), saya dapat elaun rumah dan elaun makan.
“Apa yang membuatkan saya kecewa tempoh hari saya sudah menyumbang semuanya dan sudah menghasilkan keputusan pun tetapi mereka macam tidak boleh nak bagi biarpun permintaan saya itu bukannya besar-besar pun,” katanya
Dalam masa sama, Azizulhasni turut mengingatkan atlet-atlet muda yang disenaraikan dalam program RTG untuk tidak terlalu selesa dengan bantuan yang diberikan kerana mereka menggalas harapan jutaan rakyat Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.
“Nasihat saya, jangan enak dibuai mimpi dengan keistimewaan yang anda dapat, kerana macam saya dahulu bermula dengan kosong.
“Program basikal dahulu tidak mendapat bantuan penuh tetapi kita tetap berusaha beri keputusan baik, dan dari situ kita dapat yakinkan mereka,” katanya dalam program Sambutan Hari Olimpik di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) semalam.
Ini kali pertama Azizulhasni kembali ke sekolah lamanya sejak 2005.
Turut hadir Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria beberapa bekas atlet negara.