PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membelanjakan RM19.8 juta membabitkan 34 jenis sukan menerusi Program Podium sebagai persiapan bagi Sukan SEA Kemboja 2023.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata tumpuan diberikan kepada sukan yang menampilkan atlet yang berumur di bawah 23 tahun dan membuat penampilan kali pertama pada temasya dwitahunan itu.
Hannah berkata, peruntukan itu meliputi perbelanjaan pengurusan atlet yang berjumlah RM8.2 juta merangkumi elaun latihan bulanan, makanan, penginapan, pengangkutan serta pakaian latihan.
“Pengurusan jurulatih merangkumi gaji dan elaun jurulatih berjumlah RM3 juta serta pengurusan pusat latihan sebanyak RM1.1 juta.
“Perbelanjaan bagi pengurusan prestasi yang merangkumi latihan pendedahan dalam dan luar negara, pertandingan dalam dan luar negara serta Program Binaan adalah sebanyak RM7.5 juta,” katanya ketika jawab lisan di Dewan Rakyat semalam.