SEJAK berumur tiga tahun, Yusra Mardini bersama kakaknya, Sarah diajar berenang oleh bapa mereka dengan harapan akan menjadi perenang terbaik dunia tanpa memikirkan kemahiran itu akhirnya telah menyelamatkan mereka.
Pada ketika itu, berenang dianggap sukan yang boleh mengubah nasib keluarga mereka di Syira, namun peperangan yang melanda negara itu sejak 2011 mengubah segala-galanya dan apa yang dirancang juga terkubur.
Selepas episod duka, termasuk kediaman mereka dibom, keluarga Yusra memutuskan agar dia dan kakaknya melarikan diri ke Greece pada 2015 dengan menaiki bot, namun enjin bot yang dinaiki bersama 20 pelarian lain rosak selepas 15 minit berlepas.
Dengan kemahiran berenang yang dimiliki, Yusra dan Sarah melompat ke dalam lautan Mediterania untuk menolak serta menarik bot yang tenggelam selama lebih tiga jam sebelum tiba ke pantai Greece.
Mereka menghabiskan lebih enam bulan di kem pelarian sebelum menyertai kelab renang di Jerman dan dia ketika itu juga telah dilantik sebagai Duta Muhibah untuk Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada usia 19 tahun.
Pencapaian Yusra tidak berakhir di situ apabila dia mendapat tempat dalam kontinjen Atlet Olimpik Pelarian di temasya Rio De Janeiro pada 2016 bersama 10 atlet lain dan mereka menerima tepukan gemuruh daripada orang ramai ketika itu.
Yusra bertanding dalam 100 meter (m) kupu-kupu serta 100m gaya bebas di Brazil, dan empat tahun kemudian dia sekali lagi bertanding di Olimpik Tokyo.
Dia diberi kepercayaan untuk membawa bendera pelarian dalam upacara pembukaan.
Biarpun gagal memberi impak dalam kedua-dua penyertaan di Olimpik, kisah dan perjuangannya telah menginspirasi ramai orang membuatkan Yusra bertekad untuk terus berjuang dalam renang.
“Pada awalnya saya enggan berada dalam kontinjen pelarian kerana takut orang fikir saya dapat peluang beraksi di pentas Olimpik kerana kisah hidup saya.
“Sebenarnya, peluang yang saya miliki itu adalah daripada bakat dan usaha saya berlatih.
“Apa pun, saya bangga mewakili kira-kira 80 juta pelarian di seluruh dunia.
“Saya harap mereka dapat menjalani kehidupan dengan baik sekarang walaupun berada di mana-mana negara sekali pun.
“Kami ingin menunjukkan bahawa pelarian tidak mudah menyerah dan akan terus berjuang untuk mencari kehidupan lebih baik, sama seperti individu lain,” katanya yang kini tinggal bersama keluarga di Berlin, Jerman.
Yusra berkata, biarpun digelar pelarian, dia tidak berkecil hati, malah bangga kerana melalui renang dirinya selamat dari konflik berpanjangan di Syria.
“Terima kasih kepada penyokong saya, tanpa mereka saya tidak bersemangat untuk berenang dan demi mereka juga, saya akan berusaha sehabis baik,” katanya.