PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meraih motivasi terbaik menjelang Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos depan apabila menerima kenaikan mendadak dalam ranking dunia.
Kejayaan meraih pingat emas pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) yang melabuhkan tirai Isnin lalu membolehkan The Pocket Rocketman naik tujuh anak tangga dalam ranking keirin dengan menghuni kedudukan ketiga terbaik dunia.
Pelumba berusia 35 tahun itu juga mencatat kenaikan drastik dalam saingan pecut apabila mendaki 13 anak tangga untuk berada di kedudukan keenam, didorong kejayaannya meraih emas ACC di Nilai.
Dalam ranking keirin, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo itu mengumpul 2,644 mata untuk berada di belakang juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen yang mengumpul 3,755, manakala pelumba Australia, Matthew Richardson (3,320) di tempat kedua.
Bagaimanapun nasib berbeza dialami rakan sepasukannya, Shah Firdaus Sahrom yang turun satu anak tangga ke No. 7 dunia dengan mengumpul 2,320 mata.
Dalam pecut, Azizulhasni mengumpul 2,289 mata, manakala Shah Firdaus yang mendaki 12 anak tangga ke kedudukan ke-19 dunia dengan 1,681 mata. Dua ranking teratas dipegang Layversen dan Matthew.
“Sedikit sebanyak ini memberi suntikan semangat untuk beraksi pada Kejohanan Dunia di Glasgow dan juga langkah yang amat positif dalam proses kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Terima kasih tidak terhingga di atas sokongan dan doa anda semua,” kata Azizulhasni.
Azizulhasni pernah beberapa kali berada di ranking teratas, antaranya pada Februari 2021 iaitu beberapa bulan menuju ke Sukan Olimpik Tokyo apabila dia bergelar No. 1 dunia.