KUALA NERUS: Harimau Malaya dijangka mencapai ranking terbaiknya dalam tempoh 12 tahun hasil dua kemenangan yang dilakar dalam aksi persahabatan Tier 1.
Kemenangan besar 10-0 ke atas Papua New Guinea kelmarin dan 4-1 menumpaskan Kepulauan Solomon minggu lalu bakal menyaksikan Malaysia naik dari tangga ke-138 ke kedudukan 136 ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Malaysia menghuni ranking ke-154 dunia ketika Kim Pan Gon mula mengambil alih pasukan pada 21 Januari 2022.
Selepas mencatat peratusan kemenangan yang tinggi – 70 peratus dalam tempoh lebih setahun lalu, Harimau Malaya berjaya mendaki ke tangga 138 dunia.
Menang 16 daripada 20 perlawanan setakat ini dan layak ke Piala Asia secara merit buat kali pertama dalam tempoh 42 tahun satu pencapaian memberangsangkan buat Pan Gon.
Begitupun jurulatih kelahiran Korea Selatan itu mengingatkan pemain dan peminat jangan terlalu seronok kerana dua perlawanan persahabatan yang diharungi hanya pemanas badan kerana cabaran terbesar mereka adalah hujung tahun ini.
Pasukan negara akan kembali dikumpulkan pada September untuk menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November sebelum memulakan kempen Piala Asia 2023 di Qatar, Januari tahun depan.
“Saya gembira melihat persembahan malam ini (kelmarin), namun ia cuma satu perlawanan. Sasaran kami adalah untuk kekal agresif melawan pasukan gergasi.
“Malangnya kami berdepan kekangan masa. Jadi, eksperimen akan diteruskan dan saya ingin lihat jika pemain mampu mengekalkan ‘DNA’ sama,” katanya.
Pan Gon mengakui, peningkatan mendadak itu dibimbangi meletakkan pasukan negara dalam tekanan lebih tinggi terutama daripada peminat.
“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedar perkara ini, saya katakan bahawa kami meningkat terlalu cepat termasuk ranking dunia dan ini sebenarnya bukan petanda yang baik.
“Dengan harapan menggunung menjelang dua kejohanan penting itu, Harimau Malaya boleh ‘karam’ dan peminat harus faham apa sasaran jangka pendek serta jangka panjang FAM.
“Apa yang penting, semua harus bersatu dan kita ambil selangkah demi selangkah menuju misi lebih besar dan saya akan buat yang terbaik sehingga Piala Asia 2023,” jelas Pan Gon.