Proses cari pengganti Choong Hann mencabar, ambil masa - BAM

Proses cari pengganti Choong Hann mencabar, ambil masa – BAM

WONG CHOONG HANN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belum pun bertemu pengganti Michelle Chai yang meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM) bulan lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini perlu pula mencari pengganti Wong Chong Hann.

Badan badminton kebangsaan itu hari ini mengesahkan peletakan jawatan Choong Hann sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan dan dalam proses mencari pengganti.

Buat sementara, tempat Choong Hann yang dilantik sebagai pengarah kejurulatihan pada November, 2018 akan diisi oleh Hendrawan yang mengambil alih bahagian perseorangan sambil dibantu Datuk Tey Seu Bock serta James Chua.

“BAM kini akan memulakan proses mencabar bagi mengenal pasti pengganti yang berkebolehan untuk mengambil alih tugas pengarah kejurulatihan perseorangan negara.

“Proses itu akan mengambil masa, dan BAM tidak akan meninggalkan sebarang usaha untuk mencari calon yang sesuai untuk jawatan itu.

“Selepas proses itu selesai dan penggantian dimuktamadkan, BAM akan mengumumkan secara rasmi pengarah perseorangan baharu,” kata BAM dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada bekas naib juara dunia itu atas sumbangan besarnya kepada badminton Malaysia sejak dilantik pada 2018.

“Choong Hann telah banyak berkorban sepanjang perkhidmatannya bersama BAM, dan kami tidak dapat berterima kasih kepadanya atas jasanya kepada sukan kami.

“Bagi pihak BAM dan Majlis, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Choong Hann atas sumbangannya kepada sukan kami.

“Dia sentiasa bersemangat tentang peranannya, berazam untuk memberikan yang terbaik untuk Malaysia. Ramai pemain mendapat manfaat daripada kepimpinannya,” kata Mohamad Norza.

Choong Hann telah melahirkan rasa terima kasihnya kepada BAM kerana memberi peluang untuk berkhidmat tetapi merasakan sudah tiba masanya untuk dia meneruskan minatnya sendiri. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya