PETALING JAYA: Tindakan Wong Choong Hann meletak jawatan sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan tidak menjejaskan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau merosakkan imej mereka.
Choong Hann adalah individu penting ketiga meninggalkan BAM dalam tempoh sebulan selepas Michelle Chai meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM) bulan lalu, manakala Dr. Tim Jones ditamatkan perkhidmatan selaku Pengarah Berprestasi Tinggi ABM.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh mengakui, pemergian Choong Hann satu kehilangan besar, namun ia tidaklah sampai mengganggu program yang sedang berjalan, terutama persiapan pemain untuk menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Tegasnya, jurulatih sedia ada seperti Hendrawan, Datuk Tey Seu Bock dan James Chua akan memastikan program perseorangan negara berjalan seperti biasa sehinggalah BAM berjaya mendapatkan pengganti Choong Hann.
“Kita masih ada Hendrawan yang akan berganding bahu dengan jurulatih lain (Seu Bock dan James Chua) untuk mengendalikan program latihan pemain, jadi tiada apa yang terjejas.
“Seperti sebuah syarikat, kakitangan akan datang dan pergi, sama juga BAM, walaupun berat, kita kena terima keputusan Choong Hann.
“Apa yang boleh BAM janjikan ialah individu yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Choong Hann kelak orang yang benar-benar faham dan boleh segera menyesuaikan diri dengan sistem sedia ada.
“Kita akan fikirkan secepat mungkin bagi mencari penggantinya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Choong Hann, 46, meletak jawatan selepas lima tahun bersama BAM bermula dengan menjadi Pengarah Kejurulatihan Kebangsaan pada November 2018 sebelum menjadi Pengarah Kejurulatihan Perseorangan tahun lalu.
Jika peletakan jawatan Michelle didorong oleh prestasi buruk badminton dalam Sukan SEA di Kemboja bulan lalu, terutama kekalahan memalukan pasukan wanita kepada Filipina, prestasi kurang meyakinkan bahagian perseorangan ketika ini dipercayai punca utama pengunduran Choong Hann, naib juara dunia 2003.