KUALA NERUS: Penyokong Terengganu FC (TFC) beratur seawal pukul 7 pagi bagi mendapatkan tiket perlawanan separuh akhir Piala FA bertemu KL City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, esok.
Tinjauan di pekarangan stadium pagi ini mendapati proses penjualan tiket fizikal berjalan lancar tanpa sebarang insiden sambil dikawal petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Seorang peminat dari Kuala Ibai, Ahmad Syafiq Aiman Abdul Hakim, 17, berkata, dia bersama dua rakannya beratur dari awal pagi meskipun kaunter tiket hanya dibuka 10 pagi.
“Selepas solat Subuh lagi kami datang dan beratur kerana bimbang perlu bersesak dengan orang ramai seperti separuh akhbar Piala Malaysia bertemu Selangor, tahun lalu.
“Mujur ketika itu barisan tidak begitu panjang dan tiga kaunter dibuka. Urusan pembelian tiket juga berjalan lancar dengan mengambil masa 30 minit selepas kaunter dibuka,” katanya.
Bagi Ahmad Syauqi Kamarudin, 27, dia tiba di stadium pukul 8 pagi dari Dungun dan berjaya mendapatkan 12 keping tiket yang dibeli bersama dua lagi rakannya untuk menyaksikan perlawanan itu.
“Ketika tiba pagi tadi, suasana tidak begitu sesak dan sangkaan kami perlu berebut ternyata meleset. Mungkin penyokong sudah ramai membeli dalam talian,” jelasnya.
Hampir 30,000 penonton dijangka membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam esok selepas 15,000 keping tiket dalam talian telah habis terjual sejak kelmarin.
Tiket berharga RM20 bagi dewasa dan RM5 kanak-kanak itu mula dijual secara fizikal hari ini dengan setiap penonton hanya boleh membeli sehingga empat keping tiket setiap pembelian. – UTUSAN