KOTA BHARU: Walaupun Kelantan FC sanggup menurunkan harga tiket serendah RM3 bagi menarik penyokong ke stadium untuk aksi Liga Super menentang Sri Pahang malam ini, namun sambutan yang diterima agak dingin dengan hanya 4,000 tiket terjual sehingga semalam.
Selasa lalu, Kelantan FC menawarkan ‘harga runtuh’ dengan tiket RM3 ditawarkan kepada 4,000 peminat terawal bagi tempat duduk terbuka, manakala RM9 tiket Astaka buat 500 peminat pertama.
Begitupun setakat semalam, Utusan Malaysia difahamkan hanya 4,000 tiket terjual biarpun Stadium Sultan Muhammad IV boleh menampung sehingga 22,000 penonton.
Keputusan pemilik kelab, Norizam Tukiman membawa masuk ketua jurulatih baharu, Alfredo Vera belum cukup meyakinkan penyokong bahawa The Red Warriors (TRW) mampu bangkit daripada prestasi buruk pada pusingan pertama Liga Super.
Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darulnaim (kelate.net) Mohd. Nurul Mohd. Yusoh berkata, langkah menurun harga tiket serendah RM3 itu dilihat cukup baik dalam usaha menarik lebih ramai peminat ke stadium.
Begitupun Kelantan FC memerlukan masih untuk mengembalikan keyakinan penyokong bukan sahaja kerana prestasi buruk dan isu luar padang, malah situasi ekonomi yang tidak mengizinkan mereka berbelanja.
“Dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini, sudah pastinya peminat akan berkira-kira untuk ke stadium. Kalau selang seli kalah dan menang, mungkin peminat akan bertahan.
“Jika berterusan kalah, dan menjadi ‘lauk’ kepada pasukan lain. Sudah pasti penyokong ‘hilang’ selera untuk menyokong,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mohd. Nurul, Kelantan FC perlu menyelesaikan masalah prestasi dan krisis melibatkan pembayaran gaji sebelum kembali ‘dipandang’.
“Bola di Kelantan adalah hiburan untuk rakyat negeri ini bagi hilangkan penat selepas seharian bekerja. Jika asyik kalah, penyokong pun jadi stress.
“Besar harapan kami pengurusan mengambil serius perkara ini. Lakukan perubahan demi Kelantan FC,” ujarnya.
Berjaya mencuri satu mata menentang Sri Pahang dilihat memadai buat Vera untuk penampilan pertamanya dalam kancah Liga Malaysia.
Keputusan itu pastinya, memberi keyakinan kepada jurulatih kelahiran Argentina itu meniup angin perubahan dalam pasukan yang tampak ‘tenat’.
Jika kalah dan jumlah bolos kurang daripada tiga jaringan ia sesuatu yang positif buat Kelantan FC selepas sering dilabel sebagai pasukan ‘lauk’ dalam Liga Super.
Selepas mengharungi 13 perlawanan, Kelantan FC menghuni tangga tercorot liga dengan mengumpul empat mata.