LONDON: Pemain golf Amerika Syarikat (AS), Berry Henson melakukan kerja sambilan dengan menjadi pemandu Uber.
Jika peminat mengikuti perkembangan Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang membuka tirai hari ini, Henson antara pemain yang menjadi tumpuan untuk diikuti.
Berusia 43 tahun, pemain dari California itu melayakkan diri selepas menyertai ‘Golf’s Longest Day’ di Canoe Brook Country Club, Summit New Jersey.
Beratus-ratus pemain golf seluruh dunia menyertai acara itu setiap tahun dengan harapan dapat beraksi di Terbuka AS.
Bagaimanapun Henson yang menghuni ranking 444 dunia mempunyai latar belakang paling menarik.
Hos Golf Channel, Cara Banks ketika memperkenalkan Henson mendedahkan, pemenang slot ke Terbuk AS bekerja sebagai pemandu Uber sambilan untuk memenuhi keperluan hidup.
From cruising the freeways of Los Angeles to driving down fairways, professional golfer and part-time Uber driver Berry Henson is set for his major debut at the age of 43. pic.twitter.com/PmZRCWesKA
— CNN Sports (@cnnsport) June 14, 2023
“Seramai 156 pemain layak beraksi dalam kejohanan ini (Terbuka AS) tetapi tidak boleh melupakan Berry Henson yang berusia 43 tahun.
“Dia bekerja sebagai pemandu Uber untuk kelangsungan hidup dan mendapat tempat yang diidamkan dalam Terbuka AS tahun ini.
“Dia telah mencatat 64 dan 71 pukulan di Canoe Brook Country Club di Summit, New Jersey,” kata Banks ketika memperkenalkan Henson.
Sementara itu, bagi Henson dia hanya akan mendedahkan pekerjaan sambilannya apabila ditanya dan bersedia memberi aksi terbaik pada kejohanan itu minggu ini.
“Begitu banyak emosi sejak tujuh hari lalu, banyak perkara yang perlu disyukuri dan saya kena merendah diri.
“Saya mahu menikmati kejohanan dan sedar kesukaran yang bakal dihadapi minggu ini.
“Ramai penumpang Uber saya apabila mereka mengetahui apa yang saya lakukan, akhirnya mengikuti saya di media sosial.
“Pada mulanya mereka tidak mempercayai saya, ia sesuatu yang penuh emosi,” kata Henson kepada CNN. – AGENSI