PETALING JAYA: Hasrat beregu nombor satu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah untuk melangkah jauh di Terbuka Singapura tidak kesampaian apabila terpaksa menarik diri di pusingan pertama.
Pasangan itu terpaksa menarik diri apabila Pearly mengalami kecederaan di bahagian siku kanan selepas terjatuh ketika menentang Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun di pusingan pertama.
Insiden itu berlaku ketika gandingan negara ketinggalan 13-21, 21-17, 9-16 dengan Pearly dilihat mula memegang tangannya mereka ketinggalan 9-14 sebelum memutuskan untuk menarik diri.
Jurulatih beregu wanita, Hoon Thien How memberitahu, pemeriksaan awal ke atas Pearly itu menunjukkan tiada kecederaan serius.
Bagaimanapun katanya, Pearly perlu dipantau sebelum memutuskan penyertaannya dalam Super 1000 Terbuka Indonesia, minggu hadapan.
“Pemeriksaan oleh pegawai Institut Sukan Negara (ISN) menunjukkan Pearly ada alami kecederaan di bahagian sikunya dan mengalami ketegangan (strain) ringan di bahagian itu.
“Kecederaan itu berlaku dalam set pertama, semasa mereka berada di mata ke-11. Untuk Terbuka Indonesia, saya belum boleh cakap apa-apa lagi, tetapi kami akan memantau Pearly dengan teliti dalam beberapa hari akan datang, sebelum membuat keputusan,” katanya.
Sementara itu pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong berjaya mempamerkan aksi mantap untuk menewaskan pemain Ireland, Nhat Nguyen 21-17,18-21, 21-15.
Kejayaan Tze Yong itu turut dituruti beregu profesional lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang tidak berdepan masalah menundukkan pasangan Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov.
Mereka hanya memerlukan 31 minit untuk menang 21-18, 21-13 seterusnya menempah tiket ke pusingan kedua.
Kejayaan beregu lelaki negara itu bagaimanapun gagal dituruti beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang tewas kepada beregu Korea Selatan Kim Won Ho-Jeong Na Eun, 21-12, 21-14, 21-10.-UTUSAN ONLINE