PETALING JAYA: Pemilihan Papua New Guinea sebagai pengganti Yemen yang terpaksa menarik diri daripada aksi persahabatan menentang Harimau Malaya pada kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bulan ini bukanlah satu isu besar.
Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan negara jiran Indonesia yang berpeluang menguji juara Piala Dunia 2022, Argentina mungkin memperlihatkan jurang berkenaan.
Begitupun, bekas pengendali kebangsaan, B. Sathianathan mengakui, siapa pun lawan yang dipilih ia adalah peluang untuk skuad Harimau Malaya mengasah taring dan menguji strategi terbaik terutama apabila berdepan Jordan, Bahrain dan Korea Selatan yang menghuni kumpulan sama di Piala Asia.
Jelasnya, mungkin perlawanan persahabatan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea iaitu pasukan yang kurang dikenali dalam peta bola sepak dunia, namun secara tidak langsung menerusi aksi tersebut, Kim Pan Gon dapat merencana strategi berdepan lawan yang memiliki fizikal besar berbanding skuad negara.

“Banyak negara sudah ada perancangan awal mungkin Papua digantikan Yemen kerana mereka memiliki pemain berkelebihan daripada segi fizikal sama.
“Benda seperti ini tidak dijangka dan kita bernasib baik ada pasukan yang mahu bermain pada rundingan saat akhir.
“Mungkin orang kata pasukan Papua ini tidak pandai main bola tetapi mereka ada kelebihan daripada segi fizikal. Ramai juga pemain mereka bermain dalam Liga Indonesia jadi kita tahu mereka bukan lawan yang mudah.
“Pan Gon mungkin pilih Papua disebabkan fizikal kerana kita akan lawan Jordan dan Bahrain yang memiliki kelebihan itu di Piala Asia.
“Kalau saya sebagai seorang jurulatih akan membuat pilihan sama tambahan pembatalan lawan di saat akhir.
“Jadi ini menjadi peluang untuk kita mencari jalan terbaik apabila bermain dengan pasukan yang memiliki fizikal lebih besar daripada pemain kita dan bagi saya bukan satu isu besar,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Malaysia sepatutnya dijadual berdepan Yemen pada 20 Jun depan, namun Persatuan Bola Sepak Yemen (YFA) kelmarin menyatakan hasrat membatalkan perlawanan tersebut atas alasan ketiadaan pemain utamanya kerana menyertai skuad bawah 23 tahun (B-23) negara ke Kejohanan Asia Barat di Iraq.
Skuad kendalian Pan Gon yang kini menghuni kedudukan ke-138 dunia akan diuji Kepulauan Solomon (ke-134) pada 14 Jun dan Papua New Guinea (ke-159) 20 Jun di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.