KOTA BHARU: Pertemuan terbuka antara Norizam Tukiman dan penyokong Kelantan FC hari ini dijangka ‘panas’ selepas pelbagai lagi dakwaan dilemparkan terhadap pemilik The Red Warriors (TRW) sejak beberapa hari lalu.
Semalam bekas penjaga gol, Amin Faisal Mohd. Saidi menjadi individu terbaharu mendedahkan kontraknya ditamatkan ketika meminta gaji daripada Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham untuk perbelanjaan isterinya yang mahu bersalin.
“Saya berasa cukup terkilan kerana waktu isteri saya nak bersalin saya hubungi Zamsaham untuk minta gaji, tapi tiba-tiba beliau cakap kat saya, ‘Amin kau cari pasukan barulah tahun depan.’
“Terkejut saya kerana ketika itu saya masih mempunyai kontrak setahun lagi bersama kelab.
“Waktu itu saya tak fikir panjang saya cakap tidak mengapa, yang penting Zamsaham dapat bagi gaji supaya saya boleh guna untuk isteri nak bersalin,” dedahnya kepada sebuah portal sukan tempatan semalam.
Amin Faisal mendakwa, Kelantan FC masih belum menyelesaikan hutang gajinya.
“Kalau ikutkan kontrak saya selama dua tahun, mereka masih hutang saya 12 bulan untuk pampasan.
“Gaji bulan November dan Disember juga belum bayar, manakala gaji bulan Oktober saya hanya terima suku.
“Pihak kelab juga masih belum membayar potongan Kumpulan Kewangan Simpanan Pekerja (KWSP) dari tahun lepas walaupun dalam slip gaji memaparkan potongan sudah dibuat,” ujarnya.
Terdahulu, bekas jurulatih kecergasan TRW, Kamarul Dinis Kamarudin tampil membuat pendedahan mengenai insiden dengan pemilik kelab itu dalam satu perlawanan.
Sementara itu, Norizam ketika dihubungi Utusan Malaysia mengakui pelik dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan terhadapnya kebelakangan ini.
“Macam-macamlah fitnah ini, pelik,” balasnya dalam satu mesej ringkas.
Beliau bakal menjawab semua persoalan dalam pertemuan dengan penyokong yang sudah dirancang hari ini.