PETALING JAYA: “Kalau nak kurus rujuklah ISN (Institut Sukan Negara).”
Itu penegasan bekas Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz yang kecewa kes atlet positif doping kerana mengambil suplemen atau produk kesihatan masih berlaku biarpun insiden tersebut pernah beberapa kali menggemparkan sukan negara.
Tegas Dr. Ramlan, mana-mana atlet tidak kira elit, senior atau pelapis perlu ada tanggungjawab mengetahui kandungan produk yang mahu diambil atau pergi ke ISN jika tidak pasti.
“Kalau atlet sedang berlatih, mereka mahu melangsingkan badan, ia bukan satu masalah, terutama mereka dalam sukan yang perlu kawal berat badan.
“Pergi ke ISN, mereka ada pakar pemakanan yang boleh bantu atlet daripada segi penjagaan kalori dan sebagainya.
“Pokok pangkalnya, atlet yang berada di bawah program untuk jadikan dia atlet kebangsaan, pengetahuan kena ada, jangan ambil risiko yang menjebakkan mereka kepada masalah doping, ikut garis panduan dan amaran ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tegas Dr. Ramlan, semua atlet kena tanam dalam fikiran setiap suplemen dan produk kesihatan yang hendak diambil perlu dirujuk kepada ISN kerana bimbang mengandungi bahan terlarang.
“Itu pasal saya kata jangan dekat langsung, hukuman berat, atlet boleh digantung sekurang-kurangnya dua tahun jika segala bukti menunjukkan dia bersalah,” katanya.
Sabtu lalu, Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) mengesahkan seorang atlet yang bertanding dalam Kejohanan Olahraga Kebangsaan, Februari lalu positif ujian doping
Pengesahan diterima daripada Makmal Anti-Doping, Doha, Qatar (ADLQ) bagi analisis sampel dengan penemuan Sibutramine yang tersenarai dalam bahan larangan Agensi Anti Doping Dunia (WADA).
Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Zaki Sadri mendedahkan, atlet pelapis wanita yang beraksi dalam acara lompat tinggi itu berada di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) itu mengambil kopi dengan tujuan menurunkan berat badan.
Menurut Dr. Ramlan, insiden atlet gagal ujian doping angkara pengambilan suplemen atau produk kesihatan bukan perkara baharu.
Pada Sukan Asia 2014 di Incheon, pingat emas yang dimenangi atlet wusyu, Tai Cheau Xuen dalam acara nandao dan nanquan all-around ditarik balik selepas dia disahkan positif doping.
Persekutuan Wusyu Malaysia kemudian mengesahkan, kes Cheau Xuen berpunca daripada Sibutramine iaitu sejenis dadah yang boleh mengawal berat badan, dan ia sering terdapat dalam pil diet, produk melangsingkan badan serta minuman tenaga.
Pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, penerjun wanita negara, Wendy Ng hilang dua pingat emas yang dimenangi juga angkara Sibutramine selepas dia mengambil produk menurunkan berat badan.