ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain mahu anak-anak buahnya turun dengan misi mencari kemenangan apabila menentang Perak FC di laman sendiri malam esok.
Menurutnya, adalah satu kerugian sekiranya KDA FC gagal meraih mata penuh dalam perlawanan tersebut memandangkan momentum pasukan kini berada dalam keadaan cukup baik.
Selain itu katanya, sebarang keciciran mata hanya akan menyebabkan Sang Kenari ketinggalan jauh daripada pasukan-pasukan lain yang berada di kelompok teratas liga.
“Namun kami tak boleh memandang mudah cabaran Perak. Saya kenal ketua jurulatih mereka, Yusri Che Lah dan beliau seorang jurulatih yang bagus terutamanya daripada aspek persediaan pasukan, motivasi serta hubungan antara pemain.
“Saya yakin Perak mampu bangkit di bawah kendaliannya. Namun di pihak kami, para pemain sepatutnya lebih memikirkan mengenai pasukan sendiri daripada memikirkan siapa lawan hendak dihadapi.
“Tak kiralah esok kita akan lawan Perak atau sesiapa saja, fokus sepatutnya diberikan kepada permainan pasukan sendiri sama ada ketika bertahan mahupun menyerang. Saya mahu mereka berikan yang terbaik dan sentiasa sedar tanggungjawab masing-masing di setiap posisi,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Darul Aman, hari ini.
Sementara itu pertahanan kanan KDA FC, Kamil Akmal tidak menyembunyikan harapan agar dia dapat diturunkan dalam perlawanan esok setelah menjalani penggantungan sebelum ini akibat mengutip kad merah sewaktu bertemu Selangor, 24 Mei lalu.
Pemain yang kian mendapat perhatian ramai itu berkata, banyak perkara yang dipelajarinya daripada situasi tersebut yang merupakan kad merah pertama sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.
“Ini pengajaran buat saya agar tidak mengutip kad merah yang sia-sia. Perkara sebegitu hanya akan mengganggu momentum pasukan ketika masing-masing sudah pun memberikan aksi terbaik untuk mengatasi lawan.
“Jika diturunkan esok, saya mahu terus berikan yang terbaik. Bagi saya, Perak tidak boleh dipandang mudah kerana mereka mungkin datang dengan aura berbeza di bawah kendalian jurulatih baharu,” katanya.
Dalam perlawanan pusingan pertama Liga Super di Stadium Perak pada 25 Februari lalu, KDA FC mengatasi Perak 4-1 dengan dua pemain pasukan The Bos Gaurus dibuang padang iaitu Ahmad Haziq Ahmad Puad dan Sunday Afolabi.-UTUSAN ONLINE