ALOR SETAR: Kedah Darul Aman (KDA) FC terus rancak untuk memperkukuh pasukan apabila mengumumkan import kedua baharu mereka yang akan ditandatangani bersama Sang Kenari.
Kali ini, KDA memaklumkan, Moses Atede Jona yang berasal dari Kaduna, Nigeria akan menguatkan jentera tengah pasukan bagi menghadapi baki saingan liga.
Pemain berusia 25 tahun itu mempunyai kerakyatan Bahrain dan akan didaftarkan sebagai pemain kuota Asia pasukan KDA.
“KDA mencapai persetujuan untuk mengikat kontrak bagi baki Liga Malaysia musim 2023 bersama Moses yang sebelum ini beraksi bersama pasukan Al-Muharraq Sports Club, Bahrain.
“Pemain ini juga pernah beraksi dengan Al-Hidd SCC sebelum mula mencipta nama bersama Al-Muharraq. Kemuncak kerjayanya adalah sebagai pemenang Piala AFC musim 2021 bersama Al-Muharraq,” kata kelab tersebut hari ini.
KDA berkata, Moses Atede pasti mahu mengenal rahsia luar dan dalam Liga Malaysia bagi mencari keserasian sesegera mungkin untuk bersedia beraksi bersama Sang Kenari. – UTUSAN ONLINE