KOTA BHARU : Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman memaklumkan beliau belum membuat keputusan mengenai masa hadapan ketua jurulatih kelahiran Jerman, Frank Bernhardt sama ada akan terus kekal bersama The Red Warriors (TRW) atau sebaliknya.
Norizam berkata, beliau akan mengadakan pertemuan bersama barisan kejurulatihan pasukan terlebih dahulu untuk membincangkan dan mendapatkan pandangan mereka berkenaan perkara tersebut.
“Berkenaan masa hadapan Bernhardt bersama kelab, ia akan dibincangkan bersama barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan agar keputusan dapat dibuat melalui kata sepakat.
“Bagaimaapun tumpuan utama kelab pada masa ini adalah mencari pemain-pemain yang lebih berkualiti bagi memperkuatkan pasukan sepertimana disarankan oleh Bernhardt sendiri,” katanya pada sesi soal jawab pada Majlis Ramah Mesra Bersama Fans TRW, di sini semalam.
Norizam berkata, Kelantan FC sememangnya berhasrat untuk melaksanakan penyusunan semula di dalam pasukan dan mengambil pemain lebih berkualiti bagi menghadapi pusingan kedua Liga Super.
Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan mengatakan barisan pemain Kelantan yang sedia ada tidak berkualiti kerana sebahagian daripada mereka pernah beraksi pada tahap tertinggi di rantau Asia dan Eropah.
“Saya akan berbincang dengan barisan kejurulatihan dan pengurusan mengenai rombakan pasukan termasuk masa depan barisan pemain tempatan sama ada terus bersama TRW atau meninggalkan kelab ini.
“Pemain kita sebenarnya bagus dan sebahagiannya ada pengalaman beraksi di liga-liga utama sekitar Asia dan Eropah. Namun sekarang ini kita perlukan penyerang import yang benar-benar berkualiti dan mampu memberi sesuatu untuk pasukan,” katanya.
Dalam pada itu, Norizam membayangkan posisi penjaga gol dan pertahanan akan melalui rombakan pada jendela perpindahan kedua nanti.
“Sejujurnya saya berhasrat untuk mengekalkan Miguel Cifuentes tetapi dia hanya menandatangai kontrak selama setahun dengan pilihan enam bulan bersama Kelantan FC. Apa pun saya akan jumpa dan berbincang dengannya terlebih dahulu.
“Setakat ini pertahanan import dari Korea, Kim Min Gyu bakal ditamatkan kontrak manakala nasib dua penyerang import, Ismaheel Akinade dan Nuha Marong masih dalam pertimbangan,” ujarnya.
Beliau memberitahu, antara langkah yang mungkin diambil oleh Kelantan FC pada jendela perpindahan kedua nanti adalah meminjam pemain-pemain berkualiti dari kelab-kelab elit dalam pentas Liga Super.-UTUSAN ONLINE