Manchester United inspirasi Haaland buru treble - Utusan Malaysia

Manchester United inspirasi Haaland buru treble

ERLING Haaland menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Manchester kelmarin menjelang pertemuan akhir Liga Juara-Juara menentang Inter Milan esok. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Erling Haaland men­dedahkan musuh sebandar, Man­chester United menjadi inspirasinya untuk me­rangkul kejuaraan Liga Juara-Juara apabila berdepan Inter Milan awal pagi esok.

Mesin gol Manchester City itu turun di Stadium Olimpik Ata­turk, Istanbul dengan misi menjadi kelab Liga Perdana Inggeris kedua menjulang gelaran treble – Liga Juara-Juara, Liga Perdana dan Piala FA, menyamai pencapaian United pada 2008.

“Saya telah lama mengimpikan detik untuk memenangi Liga Juara-Juara sepanjang hidup.

“Ketika 2008 saya menonton aksi United menentang Chelsea (final Liga Juara-Juara), melihat mereka me­raikan kejayaan dan sejak itu, saya bertekad mahu melakukan perkara yang sama,” kata Haa­land.

Penyerang Norway itu telah meledak 52 gol dalam musim pertamanya di City, dan kini hanya selangkah untuk memastikan mereka meraih kejuaraan ketiga musim ini.

Sejak beraksi bersama pasukan remaja Red Bull Salzburg lagi Haaland sering memainkan lagu tema Liga Juara-Juara di dalam kereta.

“Dalam Liga Perdana Inggeris, kami telah memenangi kejuaraan dua musim berturut-turut, jadi kami menjangkakan untuk memenanginya lagi.

“Hanya trofi Liga Juara-Juara belum pernah dimenangi City, harap kehadiran saya akan me­rubah nasib mereka,” ujarnya.

Jika Haaland menjadi sandaran utama City bersama perancang utama, Kevin de Bruyne dan Ilkay Gundogan, Inter pula menampilkan bekas wira skuad The Citizens, Edin Dzeko sebagai watak penting.

Penyerang veteran Bosnia itu mengakui dia meninggalkan Manchester pada 2015 secara pinjaman selepas sering bergaduh dengan pengurus pasukan, Manuel Pellegrini biarpun membentuk keserasian dengan Sergio Aguero.

Kini, dia kembali berdepan bekas pasukannya yang sudah berwajah baharu dan dibimbing Pep Guardio­la untuk memberi sedikit ‘pe­ngajaran’ kepada mereka.

“Saya bertemu mereka pada saat terbaik dalam karier. Sekarang saya bukan lagi pemain yang sekadar memanaskan bangku simpanan.

“Saya sama sekali tidak menyesal ketika meninggalkan City untuk menyertai Roma secara pinjaman. Saya tidak menyesal meninggalkan England,” kata­nya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya