PETALING JAYA: Malaysia sudah mengesahkan satu tiket perlawanan akhir beregu lelaki badminton Terbuka Taiwan apabila dua pasangan negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun akan berentap sesama sendiri pada separuh akhir esok.
Turun sebagai pilihan pertama, Yew Sin-Ee Yi meneruskan cabaran selepas menumpaskan pasangan tuan rumah, Lee Fang-Chih-Lee Fang Jen 15-21, 21-19, 21-17.
Wei Chong-Kai Wun pula menyingkirkan satu lagi beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-19, 21-19.
Sementara itu dalam beregu campuran, hanya tujuh bulan selepas digandingkan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terus mempamer prestasi memberangsangkan apabila melangkah ke separuh akhir.
Gandingan beregu campuran itu membuktikan mereka sememangnya mempunyai potensi besar dan layak mendapat tempat dalam program Road to Gold (RTG) apabila menewaskan pasangan tuan rumah, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang 21-15, 21-14.
Walaupun beraksi pada kejohanan keenam mereka dalam tempoh beberapa minggu sejak Piala Sudirman di Suzhou, China bulan lalu, beregu No. 19 dunia itu tidak menunjukkan tanda keletihan.
Juara Orleans Masters yang turun sebagai pilihan keempat itu kini akan berdepan satu lagi pasangan tuan rumah, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin yang mengetepikan beregu negara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing 21-18, 21-14.
“Ia bukanlah satu perjalanan yang mudah. Kami merasa tertekan di awal gandingan kerana tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa itu tetapi berkat bimbingan dua jurulatih hebat Nova (Widianto) dan jurulatih Rexy (Mainaky), kami berjaya sampai ke tahap sekarang.
“Gembira kerana kami menikmati satu lagi larian yang baik minggu ini. Kami akan cuba mara ke final terlebih dahulu. Malah kejohanan Super 300 tidak mudah untuk dimenangi,” kata Ee Wei.
Dalam perseorangan lelaki, cabaran pemain profesional negara, Yeoh Seng Zoe berakhir apabila tewas 5-21, 17-21 kepada pemain Taiwan, Yang Su Li. – UTUSAN ONLINE