Malaysia muncul naib juara Piala Dunia WSF

Malaysia muncul naib juara Piala Dunia WSF

BARISAN pemain negara (dari kiri ke kanan), Ong Sai Hung, Darren Rahul Pragasam, Jess Tay (jurulatih), Aira Azman dan Yee Xin Ying muncul naib juara pada Piala Dunia WSF di Chennai, India, hari ini. - Ihsan SRAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan pemain muda Malaysia gagal mencipta kejutan ke atas pilihan pertama, Mesir apabila tumpas 1-2 dalam perlawanan akhir Piala Dunia WSF (Persekutuan Skuasy Dunia) di Chennai, India, hari ini.

Skuad campuran negara yang dibarisi pemain muda mendahului Mesir 1-0, apabila pemain ke-78 dunia, Yee Xin Ying melakar kejutan ke atas Kenzy Azman yang menghuni ranking ke-56 dunia 7-4, 7-5, 7-6 dalam masa 17 minit.

Bagaimanapun, Mesir kembali menyamakan kedudukan menjadi 1-1 menerusi pemain No. 21 dunia, Aly Abou Eleinen yang mengambil masa 26 minit untuk menewaskan Darren Rahul Pragasam yang menghuni ranking ke-134 dunia 3-7, 6-7, 4-7.

Mesir yang juga memegang status selaku juara bertahan melengkapkan kemenangan ke atas Malaysia, apabila pemain ke-55 dunia, Aira Azman tunduk kepada Fayrouz Aboelkheir yang berada di tangga ke-33 dunia 4-7, 5-7, 7-6, 6-7 dalam masa 25 minit.

Keputusan itu juga menyaksikan seorang lagi pemain negara, Ong Sai Hung tidak perlu memerah keringat menentang Karim El Hammamy dalam perlawanan keempat.

Jurulatih skuad kebangsaan Jess Tay berkata, anak-anak buahnya telah mempamerkan aksi terbaik mereka, hari ini.

“Para pemain memberikan aksi maksimum ketika berada dalam gelanggang, walaupun, kita tewas 1-2.

“Apa yang pasti kita tidak berada jauh daripada mereka. Pasukan Mesir bermain dengan sangat baik, jadi, mereka berhak menang,” katanya.

Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan keempat sebenarnya mencipta sejarah menjejakkan kaki ke perlawanan akhir selepas mengejutkan pilihan kedua, India 3-0 pada separuh akhir, semalam.

Tuan rumah yang mensasarkan untuk ke pentas final menurunkan barisan terkuat dengan menyenaraikan dua pemain berpengalaman iaitu pemain No. 19 dunia, Saurav Ghosal dan Joshna Chinappa.

Namun, tanpa diduga Malaysia yang hanya menerbangkan barisan muda menyekat hajat tuan rumah yang mendapat sokongan padu daripada peminat tempatan.

Piala Dunia Skuasy WSF kali terakhir dianjurkan pada 2011 dan tahun ini, menyaksikan kejohanan itu dikembalikan dengan beberapa format pertandingan telah diubah termasuk penyertaan dua pemain lelaki dan dua wanita.

Kiraan mata pula hanya sampai ke angka tujuh dan tiada tiebreak apabila kedudukan terikat 6-6.

Kali terakhir kejohanan itu diadakan pada 2011 telah dimenangi oleh Mesir yang pada ketika itu diwakili jaguh skuasy mereka iaitu Raneem El Welily, Ramy Ashour, Karim Darwish dan Mohamed ElShorbagy. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya